fbpx
ORANG ramai beratur untuk mendapatkan perkhidmatan servis komputer riba di Global We Shop, Ayer Keroh semalam.

Ibu bapa mula serbu kedai komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG JAYA – Gajet seperti komputer riba dan peralatan komputer lain yang sebelum ini sukar untuk dijual, malah eksesori komputer juga banyak yang tersimpan berbulan-bulan kini laris bak pisang goreng panas.

Itu keadaan yang berlaku di kedai-kedai komputer di sekitar Lembah Klang dan Melaka selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan sesi persekolahan menggunakan kaedah pengajaran dan pem­belajaran dari rumah (PdPR) pada tahun ini.

Seorang jurujual di Pandan Indah yang mahu dikenali sebagai Sha, 38, berkata, barangan dan gajet komputer mendapat permintaan tinggi sejak beberapa hari sebelum sesi persekolahan bermula semalam.

“Jika sebelum ini setiap kali stok komputer riba ataupun komputer sampai, pasti ia akan mengambil masa untuk di jual, tetapi kini keadaan itu berubah apabila ibu bapa perlu menyediakan peralatan tersebut untuk anak-anak mereka menjalani pembe­lajaran secara online.

“Ketika ini orang ramai perlu bekerja dari rumah dan murid-murid di sekolah juga terpaksa belajar dalam talian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujarnya, kebanyakan pelanggannya bukan sahaja datang dari daerah ini, malah turut datang dari luar Ampang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP) 2.0.

“Ada pelanggan yang bukan berasal dari sini dan bila di­tanya mengapa beli komputer di sini, mereka memberitahu sudah berkunjung ke pelbagai kedai komputer tetapi stok telah habis.

“Selain daripada komputer, peralatan lain seperti ­kamera web dan fon telinga juga sangat laris sehingga kedai kami telah kehabisan stok. Ramai juga ibu bapa yang datang untuk membeli mesin pencetak bagi kegunaan belajar dari rumah,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang ibu di Bandar Baru Bangi mengakui ke­s­ukaran untuk mendapatkan gajet komputer apabila ­kebanyakan kedai mendakwa kehabisan stok.

Noranita Awang, 41, berkata, dia terpaksa memasuki tiga buah kedai komputer untuk mencari aksesori web kamera bagi tujuan pembelajaran secara online di rumah.

“Biasanya, kedai komputer tidak sesibuk ini, tetapi suasana kali ini sangat berbeza apabila ramai ibu bapa datang mencari gajet bagi tujuan pembelajaran.

“Masing-masing ingin memberikan yang terbaik kepada proses pembelajaran anak-anak dan saya harap pandemik Covid-19 ini cepat berakhir agar anak-anak dapat pergi ke sekolah seperti biasa,” katanya.

Di Melaka, orang ramai mula beratur di sebuah kedai komputer di Tasik Utama Ayer Keroh sejak Isnin lalu bagi melakukan servis dan pembelian komputer riba terpakai susulan pengumuman pembelajaran secara online dari rumah.

Tinjauan Kosmo! di kedai Glo­bal We Shop semalam mendapati, pelanggan mula beratur seawal pukul 10 pagi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Seorang pelanggan, Soleha Shukor, 32, berkata, dia ke kedai tersebut bagi membaiki kompu­ter riba untuk kegunaan anaknya menjalani pembelajaran secara online.

“Merata saya cari kedai murah di Melaka sehinggakan terpaksa bergerak dari Pantai Puteri ke Masjid Tanah dan seterusnya ke Alor Gajah sebelum ternampak info mengenai kedai ini yang dikongsikan di Facebook.

“Saya perlu baiki juga kompu­ter riba yang ada bagi memudahkan anak saya mengikuti pem­belajaran atas talian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khidmat Pelanggan Global We Shop, Abdul Hanif Abdul Rani berkata, permintaan bagi perkhidmatan servis di kedai tersebut naik mendadak sebaik sahaja pengumuman PKP 2.0 dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

“Sebaik sahaja pengumuman dibuat, kami menerima lebih 60 pelanggan dalam masa sehari iaitu dua kali ganda berbanding hari-hari sebelumnya.

“Kira-kira 70 peratus pelanggan datang untuk melakukan servis, manakala selebihnya membeli komputer riba terpakai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN