BEBERAPA hari lepas, masyarakat dikejutkan dengan kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental diserang di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Insiden itu dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggang bapa lima kepada anak tersebut terlanggar sebuah gerai.
Kejadian yang dirakam dan disebarkan di media sosial tersebut menjadi perbualan hangat masyarakat sehingga ramai yang mengecam tindakan tidak berperikemanusaian tersebut.
Rentetan tersebut, beberapa individu telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Situasi begini membuatkan penulis terfikir apakah yang mendorong orang awam tergamak menjadi samseng.
Adakah walaupun si pemukul bukan berstatus OKU mental seperti mangsa, mereka juga sebenarnya turut mengalami masalah sama sehingga tidak mampu berfikiran waras ketika emosi mereka dicabar?
Profesor Madya Dr. Haslina Muhamad dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya berkata, sebahagian individu mungkin menghadapi kesukaran dalam mengurus emosi, terutamanya kemarahan.
“Apabila kemarahan tidak diuruskan dengan baik, ia boleh membawa kepada tindakan impulsif dan agresif, terutamanya apabila berhadapan dengan tekanan atau konflik.
“Walaupun kesedaran mengenai kepentingan pengurusan emosi (emotion regulation) semakin meningkat, ramai individu masih bergelut untuk mengawal emosi mereka,” katanya.
Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial seseorang, yang membolehkannya menguruskan tekanan, menjalin hubungan positif dan menjalani kehidupan yang bermakna.
Seseorang dengan kesihatan mental yang baik dapat menangani cabaran hidup dengan berkesan, membuat keputusan yang rasional, dan mengekalkan keseimbangan emosi.
OKU mental pula merujuk kepada keadaan perkembangan atau neurologi yang menyebabkan keterbatasan dalam keupayaan kognitif, pembelajaran, atau fungsi harian seseorang individu.
Mengulas lanjut, Haslina berkata, kejadian di pasar tani, iaitu tempat yang sesak, bising dan penuh dengan aktiviti turut menjadi pencetus kepada tingkah laku impulsif berkenaan.
“Sebagai contoh, insiden seperti terlanggar salah satu gerai di pasar tani boleh mencetuskan tindak balas emosi yang tidak terkawal.
“Dalam suasana yang penuh tekanan, sesetengah individu lebih cenderung bertindak balas secara terburu-buru tanpa berfikir panjang,” katanya.
Justeru, Haslina menyarankan beberapa cadangan untuk membantu orang ramai lebih peka mengawal emosi mereka.
Antaranya mengadakan kempen kesedaran emosi, penilaian semula kognitif dan penguatkuasaan peraturan.
“Didik masyarakat untuk ubah cara melihat situasi dengan lebih positif. Sebagai contoh, berbanding menganggap seseorang sengaja mencetuskan kemarahan, cuba fikir bahawa ia mungkin terjadi secara tidak sengaja.
“Beri pendidikan pada masyarakat tentang bagaimana untuk membina empati. Cuba letakkan diri kita dalam situasi orang lain untuk memahami perasaan dan reaksi mereka.
“Ini membantu mengurangkan kecenderungan untuk bertindak balas secara marah,” katanya.














