fbpx
Ajom menunjukkan tanaman ubi kayu yang dirosakkan gajah liar di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang kelmarin. – AIMUNI TUAN LAH

Baru cadang nak jual, kebun pula diceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Sepasang suami isteri Orang Asli kerugian kira-kira RM5,000 selepas 1,000 pokok pelbagai tanaman yang diusahakan di kebun musnah dipijak gajah liar yang menceroboh Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini sejak dua minggu lalu.

Ajom Mangloi, 58, bersama isterinya, Munah Angah, 43, mengalami kerugian selepas tanaman seperti ubi kayu, ubi keledek, serai, lada, kunyit dan durian yang diusahakan setahun lalu rosak teruk.

Katanya, berdasarkan kesan tapak kaki dan najis gajah liar yang ditemui, haiwan itu dipercayai mula masuk ke kampung pada 6 Januari lalu dan turut merosakan pagar buluh.

Kata beliau, serangan gajah di kebun seluas 0.2 hektar itu me­rupakan kejadian kali ketiga yang menimpa mereka dalam tempoh dua tahun.

“Serangan gajah itu bermula dua malam berturut-turut pada 6 dan 7 Januari.

“Kami bernasib apabila tidak berada di rumah buluh apabila gajah liar itu turut merosakkan dan memijak kediaman kami,” katanya.

Ajom berkata, banyak pokok ubi kayu yang ditanam tidak sempat dituai apabila turut dimusnahkan oleh gajah.

Munah pula berkata, dia bersama suami sebelum ini bercadang menjual hasil ubi kayu dan serai bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Katanya, mereka terpaksa berehat daripada melakukan kerja di kebun buat sementara waktu kerana bimbang benih pokok baharu yang ditanam kembali menjadi mangsa gajah.

“Kawasan kebun pokok pisang pernah dimusnahkan gajah liar kira-kira tahun lalu sehingga kami takut untuk mengusahakan tanaman itu semula,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pekebun di daerah ini yang terkesan dengan sera­ngan gajah liar terhadap tanaman mereka boleh membuat permohonan tuntutan pampasan melalui Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang.

Katanya, pekebun juga perlu membuat laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku dan boleh hadir ke Pejabat Khid­mat Ahli Parlimen Gua Musang untuk mengisi borang tuntutan pampasan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN