MUAR – Ahli keluarga bayi malang Muhammad Arasyi Lutfi, 11 bulan, yang maut ketika dalam jagaan pengasuhnya di sini Oktober tahun lalu, kesal kerana tiada tindakan dikenakan ke atas wanita itu meskipun sudah hampir tiga bulan episod duka menimpa anaknya.
Bapa mangsa, Syamsul Bakti Shor Kawi, 33, bimbang dan khuatir apabila pengasuh itu kemungkinan gagal dikesan selepas mendakwa wanita itu kini dalam perancangan berpindah ke Bukit Naning Air Hitam.
Katanya, tindakan itu susulan rumah pengasuh di sini telah diperiksa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bulan lalu.
“Saya kesal selepas hampir tiga bulan tak ada apa-apa tindakan dibuat ke atas pengasuh terbabit.
“Selepas saya buat laporan tentang kematian anak, pegawai penyiasat ada ambil keterangan saya, isteri dan pengasuh itu tentang kejadian.
“Sehingga kini saya masih belum dipanggil untuk diambil keterangan mengikut yang sepatutnya, laporan bedah siasat dan laporan kimia pun belum selesai lagi, sampai bila tak tahulah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya masih melakukan siasatan terhadap kes terbabit dan siasatan awal menjurus kepada kematian mengejut.
Namun katanya, polis masih menunggu laporan penuh susulan bedah siasat dan laporan kimia berkaitan kejadian.
Ujarnya, polis akan membuka kertas siasatan baharu jika laporan bedah siasat berkenaan mempunyai unsur-unsur jenayah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklum insiden itu dan masih menunggu laporan penuh daripada JKM.
“Setakat ini belum (terima laporan). Saya akan beri apabila saya dapat laporan bertulis daripada JKM,” katanya ringkas.















