KOTA BHARU – Kebanyakan pasangan yang bernikah di Selatan Thailand kebelakangan ini merupakan wanita yang sudah terlanjur dan mengandung.
Sebelum ini ramai pasangan di Malaysia ke negara itu disebabkan ingin berpoligami tetapi sekarang ada juga wanita yang sudah terlanjur dan ingin menghalalkan hubungan melalui perkahwinan.
Perkara itu didedahkan seorang ejen nikah dikenali Hafiz yang pernah membawa pasangan terlanjur untuk bernikah di Selatan Thai.
Kata Hafiz, kes terbaharu itu melibatkan seorang lelaki bergelar Datuk berusia 60 tahun dan pasangannya 20-an sarat mengandung sudah selesai melangsungkan pernikahan mereka di Thailand.
“Mereka terpaksa membuat pendaftaran nikah di Malaysia dengan segera untuk mendapat status kewarganegaraan anak mereka nanti,”katanya.
Kata Hafiz lagi, tempahan perkahwinan ke negara itu kini semakin berkurangan selepas larangan rentas negeri secara haram sejak 1 Disember lalu.
“Setakat ini baru terima hampir 20 pasangan nak kahwin, biasa ramai lagi,” jelasnya.
Difahamkan, ramai pasangan yang masuk untuk bernikah secara sah bagi mengelakkan mereka dicekup oleh pihak berkuasa.
“Sekarang ini agak susah selepas larangan rentas sempadan berkuatkuasa dan kawalan di sempadan diperketatkan oleh Polis Diraja Malaysia.
“Saya tidak mengambil tempahan yang banyak kerana bimbang urusan pernikahan tidak dapat dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan oleh pasangan berkenaan.
“Sekarang agak sukar untuk masuk bagi tujuan nikah ke Thailand sekarang. Kebiasaannya, saya akan membawa pasangan menyeberang Sungai Golok pada waktu senja dan awal pagi.
“Bagi golongan yang tiada masalah kewangan, mereka lebih suka guna laluan sah bagi elak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang pengendali bot tambang di Sungai Golok yang dikenali dengan panggilan Razak, 55, berkata, sejak larangan rentas sempadan berkuat kuasa, dia belum menerima tempahan dari rakyat
Malaysia untuk membawa pasangan bernikah di Thailand.
Katanya, sebelum ini dia ada menerima panggilan daripada beberapa individu yang bertanyakan mengenai situasi semasa di Sungai Golok.
“Saya lihat sudah ada orang yang menyeberang masuk tetapi masih berjaga-jaga,” ujarnya.














