SEPANG – Pejabat sebuah syarikat pengendali umrah di Kota Warisan di sini, ‘dikepung’ sekumpulan 279 jemaah yang menuntut agar wang mereka dikembalikan selepas terkandas untuk terbang ke Tanah Suci sejak Ahad lalu.
Lebih mengejutkan apabila ia bukan sahaja melibatkan pakej dua orang bernilai RM11,000, malah ada individu kerugian hampir RM84,000 bagi membawa 14 ahli keluarga ke Mekah dan Madinah.
Nur Farah Adila, 30, mendakwa, dia mahu membuat perancangan lain ke Tanah Suci dan memerlukan wang itu dengan segera.
“Saya merayu wang hampir RM84,000 itu dibayar segera untuk membolehkan kami menunaikan umrah pada 11 Februari.
“Kalau tak dapat bayar penuh, bayar separuh dulu pun tidak mengapa. Saya sudah berjanji untuk bawa ayah dan emak ke sana, biar mereka pergi dahulu,” katanya di sini semalam.
Nur Farah Adilah merupakan antara sebahagian jemaah yang berkampung di pejabat syarikat itu bagi menuntut pemulangan wang selepas mereka gagal menyediakan tiket kapal terbang, visa dan kemudahan hotel.
Isu melibatkan syarikat itu tercetus selepas hampir 314 jemaah termasuk dari Korea Selatan, Brunei dan Singapura yang dijadualkan terbang pada 14 dan 15 Januari terkandas di Sepang.
Bercerita lanjut, Nur Farah berkata, dia sedih dengan insiden itu memandangkan telah mengumpul wang sejak 10 tahun lalu bersama 10 adik-beradik lain untuk mengerjakan umrah.
“Jujur saya cakap, kami adik-beradik kumpul duit sudah lama, jual segala emas dan beberapa barang lain untuk ke Tanah Suci, kami mahu bawa ibu dan ayah.
“Ayah dan emak di Kelantan juga pengsan kerana terkejut dan menangis sepanjang malam bila mengetahui hal ini. Kesian mereka, dua-dua sudah tua,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi jemaah Azieda Azhar, 42, turut menuntut syarikat perkhidmatan umrah terlibat lebih bertanggungjawab selain segera membuat pemulangan wang kepada mangsa.
“Saya mohon sangat kepada pemilik syarikat membuat pemulangan wang kembali, kalau tidak dapat bagi RM11,000 pakej yang diambil itu, dapat RM5,000 pun sudah bersyukur.
“Tiada masalah di pihak saya jika hanya dapat separuh sahaja, sebab ada dua jemaah yang dapat ‘refund’ pihak syarikat tolak RM1,000 untuk duit visa dan pembelian bagasi,” jelasnya.
Pada masa sama, Azieda kecewa dengan pemilik syarikat ekoran tidak membuat sebarang tuntutan maaf secara terbuka selepas insiden itu.
“Sejak Ahad, pemilik syarikat hanya berdiam diri sahaja, sekurangnya cakap maaf kepada jemaah yang terkandas,” katanya.
Sementara itu, syarikat terlibat juga didakwa hanya membuat pemulangan wang kepada 20 individu berbanding tuntutan yang dibuat oleh 379 mangsa setakat pukul 4 petang semalam.
Penasihat undang-undang juga aktivitis Mind Pro Management, Ena Ewil berkata, bayaran balik kepada jemaah terlibat hanya dibuat kepada dua orang pada pagi semalam selain 18 individu kelmarin.
“Syarikat dilihat gagal menunaikan janji untuk melunaskan segala tuntutan kepada jemaah terkandas pada pukul 6 pagi (semalam). Berbanding lebih RM2.1 juta tuntutan dibuat, syarikat hanya membayar RM13,400 kepada dua jemaah setakat ini,” katanya.
















