REMBAU – Penduduk di Kampung Sungai Batu, Pedas Tengah di sini, terpaksa ‘berperang’ dengan lalat sejak lebih sebulan lalu.
Penduduk, Siti Farhana Buyung, 38, berkata, masalah itu pernah berlaku sebelum ini pada 2016 ekoran aktiviti ternakan ayam berhampiran perkampungan berkenaan.
Katanya, selepas membuat aduan, masalah itu selesai, namun kini penduduk kembali ‘diserang’ lalat.
“Saya terpaksa tutup semua tingkap rumah. Malah sejak sebulan ini, dalam sehari kami menggunakan 10 hingga 20 keping perangkap lalat kerana tak tahan dengan gangguan ini.
“Hampir 30 buah rumah terjejas dengan masalah ini yang dipercayai daripada aktiviti ternakan ayam,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Batu, Pedas Tengah, di sini semalam.
Bakhtiar Raidin, 44, berkata, sebelum ini serangan lalat tidak begitu banyak dan penduduk tidak terasa terganggu.
Katanya, keadaan semakin teruk tiga hari lalu apabila rumahnya diserang banyak lalat.
Pegawai Daerah Rembau, Mohd. Zamri Mohd. Esa ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat aduan berkenaan dan mengambil tindakan bersesuaian.














