SEKALI imbas reka bentuk jam tangan pintar terbaharu Honor iaitu Watch 5 kelihatan seperti Apple Watch.
Sekali lagi, Honor memperkenalkan rangkaian baharu jam tangan pintar pelbagai fungsi yang mana sedikit mengelirukan dari segi rekaan, tetapi tidaklah begitu mengejutkan kerana model terdahulu iaitu Watch 4 juga berdepan situasi sama.
Menurut jurucakap Honor, model Watch 5 merupakan versi jam tangan pintar dengan fungsi yang ditambah baik daripada keluaran sebelumnya.
“Watch 5 memaparkan paparan AMOLED 1.85 inci skrin sentuh yang lebih besar dengan resolusi 450 x 390 piksel dan kecerahan puncak 1,000 nits. Ia lebih besar berbanding Watch 4 dengan saiz 1.75 inci yang lebih kecil dengan resolusi serupa.
“Honor Watch 5 juga didatangkan dengan bateri 480 mAh yang menjanjikan peningkatan 21 peratus dalam ketumpatan tenaga berbanding bateri Honor Watch 4, sekali gus menawarkan hayat bateri sehingga 15 hari,” ujarnya.
Tambahnya, dengan kapasiti bateri yang ditambah, pengguna tidak perlu lagi bimbang untuk mengecas jam mereka dengan kerap.
Seberat 35 gram (g) dan mempunyai ketebalan 11 milimeter (mm), Honor Watch 5 cukup selesa untuk digunakan sepanjang hari.
Selain itu, sisinya yang tipis dan digabungkan dengan reka bentuk lebih ringan, jam tangan pintar ini sesuai untuk mereka yang inginkan gaya dan keselesaan.
“Dari segi reka bentuk, Honor Watch 5 mempunyai bingkai aluminium 6 siri, tombol berputar serta pembesar suara dan mikrofon untuk panggilan Bluetooth.
“Lebih penting lagi, jam tangan pintar itu diperakui IP68 yang bermaksud ia kalis air dan boleh bertahan dalam keadaan tenggelam,” ujarnya.
Jam tangan pintar baharu Honor ini juga dilengkapi dengan penjejak sistem kedudukan global (GPS), Bluetooth 5.2, storan dalaman 4GB dan penderia yang boleh menjejaki pelbagai aktiviti sukan.
Antara aktiviti sukan yang terdapat dalam jam tangan pintar Honor 5 adalah larian luar, treadmill, denai atau trek, berbasikal, senaman bebas, yoga, lompat tali dan lain-lain.
Watch 5 menyediakan penjejakan GPS yang lebih tepat berbanding model terdahulu serta fungsi ‘imbasan kesihatan satu klik’ yang boleh merekodkan syot kilat metrik kesihatan semasa dalam masa beberapa saat atau lebih.
Di samping itu, Honor Watch 5 juga dioperasikan dengan perisian Honor’s MagicOS 8 dan menampilkan beberapa fungsi berkaitan kesihatan penting seperti laporan dan imbasan kesihatan pantas serta pengurusan tidur.
Ia memberikan laporan keadaan pengguna seperti kadar degupan jantung, air dan oksigen dalam badan serta waktu tidur dengan tepat.
Hadir dalam tiga warna iaitu hitam, emas dan hijau, Honor Watch 5 dikatakan bersedia untuk menjadi pesaing yang kuat dengan jenama jam tangan pintar lain di pasaran.














