PERJALANAN hidup setiap individu tidak sama.
Ada orang lebih terarah kepada akademik, tidak kurang juga yang memilih kemahiran sebagai pilihan kerjaya.
Bagi jejaka berusia 24 tahun ini, dia tidak malu telah memilih menyambung pengajian di Kolej Vokasional (KV), Labuan, Sabah kerana minatnya dalam bidang kemahiran.
Lebih dikenali sebagai ‘Spanar Boy’ dalam kalangan pengikut di laman sosial, AG Ku Md. Khairul Akram AG Ku Damit mula meraih perhatian ramai apabila kerap berkongsi video TikTok mengenai kehidupannya sebagai mekanik selepas menamatkan pengajian di KV.
Akuinya, dia mula terbuka hati untuk memilih bidang automotif kerana minat mendalam terhadap kereta sejak kecil lagi.
“Minat terhadap bidang ini bermula sejak saya kecil lagi. Dulu saya suka beli kereta mainan. Saya juga suka menonton filem seperti Fast and Furious dan KL Drift serta bermain game, GTA.
“Apabila saya tahu ada pendaftaran terbuka, saya terus mohon dan memulakan perjalanan di KV dalam bidang automotif ketika tingkatan empat.
“Selepas itu, saya sambung diploma dalam bidang sama,” ujarnya panjang lebar kepada K-Kampus.

Kini, AG Ku Md. Khairul Akram bekerja di sebuah pusat servis di tempat kelahirannya, Labuan.
Meneruskan perkongsian, dia yang mesra disapa Akram mengakui, perjalanan dalam bidang dipilihnya itu tidaklah semudah disangka.
Pun begitu, jejaka etnik Brunei itu bersyukur apabila dapat menamatkan pengajian dengan baik dan mendapat kerja yang diimpikan iaitu sebagai mekanik.
“Jujur, masa awal-awal masuk KV, saya blank (kosong) dan tidak tahu apa-apa mengenai automotif.
“Awalnya memang susah, tetapi saya sama-sama belajar dengan kawan-kawan.
“Alhamdulillah, lama-kelamaan saya mula okey. Sewaktu praktikal pun saya teruskan belajar,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran, Akram berkata, dia tidak boleh lari daripada sebarang risiko.
“Kita hendak repair kereta orang, jadi kita kena ada keberanian. Kena berani ambil risiko. Lagi pula, saya banyak baiki kereta-kereta ‘continental’. Sambil-sambil itu, kita kena rujuk dengan senior yang ada pengalaman, takut tersilap langkah dan sebagainya,” katanya.
Tambah anak kelima daripada enam beradik itu, dia sering mendengar persepsi segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap pelajar KV sepertinya.
Hakikatnya, sejarah telah membuktikan sebaliknya, dan dia antara pelajar KV yang mampu menangkis persepsi serta skeptikal buruk tersebut.
Dia bersyukur mendapat rezeki bekerja selepas menamatkan pengajian di KV dengan gaji lumayan.
Akram mengakui, ramai lagi lepasan KV turut cemerlang dalam bidang yang diceburi mereka.
Mengakhiri perbualan, Akram menyatakan hasrat meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang teknologi automotif di Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) bagi memantapkan lagi kemahirannya.














