HOLLYWOOD cukup terkenal dengan fiksyen mega dan kehancuran dunia atau apokaliptik adalah genre antara paling popular menarik tontonan global. Para bijak pandai Hollywood membayangkan kiamat dimulai dengan gempa bumi, letusan gunung berapi, air pasang dan tsunami setinggi Everest menerjang ke darat, bukan kebakaran dahsyat.
Pernah kalian menyaksikan filem bertajuk 2012. Sekitar 16 tahun silam, khalayak Generasi X mungkin tidak ada yang terlepas menyaksikan bagaimana runtuhan maha dahsyat meranapkan dan menenggelamkan seluruh Los Angeles (LA).
Dari tangan Roland Emmerich yang terkenal dengan filem bencana epik seperti Indepence Day, 2012 sebenarnya sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada prediksi kiamat pada tahun 2012 menurut kalender Maya purba.
Biarpun tiada kiamat berlaku di mana-mana, mahu pun di LA pada Disember 2012, apa yang berlaku di kota peradaban dunia hiburan dunia tersebut ketika ini tidak boleh daripada tidak mengingatkan penulis secara peribadi terhadap petaka kemusnahan sebuah tamadun moden dalam 2012.
Dalam bersandarkan segalanya haruslah sains, pemimpin dunia dalam 2012 juga kalah terhadap ramalan kiamat apabila pada penghujung survival Jackson Curtis lakonan John Cusack bersama keluarganya dari
California membawa penemuan wujudnya bahtera raksasa di China sebagai satu-satunya jalan untuk selamat daripada kebinasaan. Sangat dekat dengan kisah bahtera Nabi Nuh dan ramalan kuno.
Agak jauh untuk dikaitkan, umat Islam tentunya sangat akrab dengan kisah burung ababil yang dihantar membawa batu yang dibakar keras dan melontarkan ke arah bala tentera bergajah Raja Abrahah dalam percubaan menghancurkan kota Mekah sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Seberapa bijak dan kuat pemimpin dunia membuat persiapan menyelamatkan tengkuk sendiri dan rakyat terpilih, di hujungnya tak boleh melawan kerja Tuhan.
Sebenarnya bukan 2012, banyak sahaja filem malapetaka yang pernah jadi permainan Hollywood, antara yang terbaik mungkin Knowing terbitan (2009), Into the Storm (2024), The Day After Tomorrow, yang memusnahkan New York dan Contagion (perang melawan wabak). Terdapat juga judul-judul seperti Deep Impact, Transformer, Darkest Hour, Doomsday, Ends Of The Day dan Armageddon.
Sepanjang melayan algoritma media sosial yang sarat dengan gambar-gambar dan visual kebakaran di empat wilayah terjejas teruk dalam kebakaran di LA, adakala kita juga terkeliru, adakah itulah gambaran sebenar yang berlaku di sana atau adakah ada antara visual tersebut sekadar CGI (imej janaan komputer). Misalnya, kebakaran di Hollywood Hills, Santa Monica Mountains yang divisualkan penuh dramatik dengan mercu tanda ikonik Hollywood Sign marak terbakar dikatakan imej palsu. Itulah bahana jika fantasi kemusnahan sedang menjadi realiti.
Di hujungnya, kita yang jauh di Malaysia sekadar mampu boleh beristighfar melihat ‘bumi meratah bumi’, biarpun tidak seluruhnya lumat atau meragut ribuan nyawa, kota kemasyhuran itu hanya lesap dalam beberapa hari sahaja berbanding mungkin asbab doa satu isyarat Tuhan buat penyokong penzalim di Gaza. Wallahuaklam.















