SEMASA negara berdepan dengan pandemik Covid-19, kebanyakan kilang minyak sawit berdepan dengan isu pekerja. Hal ini kerana kebanyakan pekerja tidak dapat bertugas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Memandangkan kebanyakan tugas di kilang bergantung kepada tenaga manusia, maka operasi tidak dapat berjalan dengan lancar sehingga menyebabkan kerugian kepada perusahaan tersebut.
Hal ini turut berlaku di kilang minyak sawit, Minsawi Industries di Kuala Kangsar, Perak. Syarikat itu melihat kepada keperluan untuk menangani isu terbabit.
Disebabkan itu, pihak kilang telah mengambil pendekatan untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Pengaplikasian AI bermula selepas kilang tersebut bekerjasama dengan sebuah syarikat penyedia solusi AI, Industri Kejuruteraan Robotik Kecerdasan Buatan atau lebih dikenali sebagai AIREI.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIREI, K. Surendran berkata, integrasi AI di kilang minyak sawit itu merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.
Katanya, ia berawal dengan idea bagaimana cara untuk menjalankan operasi tanpa bantuan tenaga buruh.
“Semasa situasi ini berlaku, pengusaha ingin mencari solusi tentang bagaimana mereka boleh beroperasi tanpa pekerja.
“Maka, kami memilih menggunakan AI di dalam operasi kilang minyak sawit.
“Hal ini belum pernah dilakukan di mana-mana tempat. Minsawi Industries menjadi kilang minyak sawit pertama yang dijana dengan teknologi AI,” katanya.
Surendran ditemui K!-Tekno semasa majlis pelancaran Kilang Kelapa Sawit Pintar berasaskan AI pertama di dunia di Minsawi Industries baru-baru ini.

Tambahnya, berawal dengan mengaplikasikan AI di sebahagian operasi, kemudian ia dikembangkan dari hujung ke hujung (end to end).
Jelasnya, pihaknya mendapati bahawa AI berupaya memberikan perubahan ketara termasuk mengatasi masalah kebergantungan kepada tenaga buruh.
Menjelaskan bagaimana AI berfungsi dalam operasi kilang minyak sawit, Surendran berkata, ia bermula dengan pembangunan platform menerusi perisian pelbagai data serta maklumat.
Ujarnya, ia termasuk pengetahuan operasi mesin dan pemprosesan bahan mentah kepada hasil akhir.
Secara asasnya, integrasi AI di kilang adalah dengan menambah sensor dalam pelbagai bentuk seperti kamera, pengesan haba dan sebagainya.
Sensor berkenaan dijana oleh AI bagi memantau dan menggerakkan operasi mesin berpandu kepada data yang dimasukkan ke dalam sistem platform utama.
Jelas Surendran, berawal daripada ketibaan buah sawit di kilang, ia akan dikumpulkan di mesin pelepasan sebelum dilepaskan secara berperingkat dan automatik ke penghantar buah (conveyor belt) ke bahagian pemprosesan.
“Sebelum ini, operasi itu dilakukan oleh pekerja yang akan mengendalikan pintu pelepasan dari mesin kawalan.
“Kini, AI melakukannya berdasarkan sensor di tangki simpanan buah. Tenaga manusia hanya digunakan untuk mendorong buah ke pintu pelepasan.
“Aplikasi AI di bahagian pemprosesan pula lebih kepada sensor untuk mengasingkan buah mengikut kualiti, memastikan ketepatan suhu ketika buah dimasak bagi memberikan hasil akhir iaitu minyak sawit berkualiti,” ujarnya.
Katanya, secara keseluruhan, AI diterapkan dalam empat komponen utama untuk mengoptimumkan prestasi kilang.
Pertama merupakan sensor lanjutan yang dipasang di seluruh kilang untuk memantau parameter kritikal seperti suhu, tekanan dan prestasi peralatan.
Ia juga bagi membolehkan pengumpulan data masa nyata untuk meningkatkan kecekapan.
Seterusnya, kamera litar tertutup berasaskan AI yang dipasang secara strategik untuk mengesan jumlah tandan buah segar (FFB), mengenal pasti anomali operasi serta memastikan pemantauan lancar.
Sistem kawalan berasaskan AI pula mengautomasikan proses, mengawal operasi dan menguruskan sumber untuk prestasi maksimum berdasarkan analisis data masa nyata.
Sementara itu, penyelenggaraan ramalan yang menggunakan algoritma pembelajaran mesin dan data sensor dapat mengurangkan masa henti dalam operasi serta mengekalkan prestasi secara konsisten.
Berkongsi tentang manfaat AI kepada industri pengilangan sawit, Surendran berkata, teknologi itu dapat menangani ketidakcekapan, mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan membuka jalan untuk masa depan lebih pintar serta mampan.
“Selain itu, manfaat AI dapat dilihat dalam keseluruhan operasi. Ia dapat membantu buah sawit yang dihantar ke kilang diproses dengan lebih cepat sebelum ia rosak.
“Buah juga diasingkan mengikut kualiti yang sepatutnya.
“Seterusnya, teknologi ini dapat menghasilkan minyak yang lebih berkualiti kerana setiap proses pembuatan dijaga rapi menerusi pemantauan AI.
“Ia juga dapat menjaga setiap tahap penghasilan minyak termasuk suhu sewaktu memasak buah,” jelasnya.
Ulasnya lagi, menerusi penggunaan AI, kebergantungan industri terhadap pekerja asing juga dapat dikurangkan.
Hal ini kerana hampir seluruh operasi dipantau oleh AI dan berpusat di sebuah bilik kawalan.
Tambahnya, dari aspek kelestarian alam, penggunaan air ketika memproses minyak sawit juga dapat dikurangkan, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan sisa air daripada kilang.
Menariknya, penggunaan teknologi itu tidak mengurangkan peluang pekerjaan, sebaliknya ia mewujudkan kerja baharu seperti pengurusan AI di kilang sawit dengan mengguna pakai kepakaran tempatan.
Menerusi integrasi AI yang diterapkan itu, Surendran mengakui, masih banyak lagi aspek yang perlu dikembangkan untuk teknologi AI dalam industri sawit di Malaysia.
Sebagai langkah mengembangkan lagi potensi AI, pihaknya telah mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat permulaan dari Brazil, Fine Instrument Technology (FIT).
Kerjasama itu bertujuan mengintegrasikan teknologi resonans magnetikSpecFIT dengan platform MyPalm milik AIREI.
Katanya, kerjasama itu akan meningkatkan keupayaan platform berkenaan dengan menyediakan solusi tentang kecekapan, kehilangan ekstraksi dan penyelenggaraan mesin sambil memperluaskan jangkauan ke Amerika Latin.
“Ada banyak potensi yang boleh dikembangkan terutama apabila melibatkan kelestarian alam sekitar. Ia merupakan salah satu aspek penting untuk memastikan operasi kilang sentiasa lestari,” ujarnya.














