BIDANG Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan terakhir generasi muda hari ini.
Malahan TVET yang merupakan proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang, kini menjadi pilihan golongan Hawa.
Menurut lepasan Kolej Vokasional Pengkalan Chepa Kota Bharu Kelantan,Nur Suhaili Abdul Khalid, 22, minat kepada TVET telah bercambah dalam dirinya sejak di bangku sekolah rendah lagi dan kini dia turut menceburi kerjaya dalam bidang tersebut.
“Sememangnya golongan wanita yang berminat dalam bidang TVET dianggap sesuatu yang pelik dalam masyarakat kita.
“Namun bagi saya, ia bukanlah perkara yang janggal dan saya tidak menganggap diri saya seorang tomboy kerana suka bertukang atau memperbaiki barang elektrik,” katanya ketika ditemui di
Akademi Bateriku di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Nur Suhaili berkata, selepas mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 pada usia 17 tahun di KV tersebut dia mula mencari pengalaman dengan bekerja di bengkel kereta.
Jelasnya yang kini menjadi tenaga pengajar bidang bateri di Akademi Bateriku sejak lebih empat bulan lalu, sebagai seorang gadis tidak semua bengkel sudi mengambilnya bekerja.
“Lebih 30 bengkel kereta di Kelantan saya cuba memohon pekerjaan tetapi semua tidak percaya dengan kemampuan saya untuk memegang spanar dan bergelumang dengan minyak hitam.
“Sampai satu tahap saya menawarkan diri untuk bekerja secara percuma demi mencari pengalaman. Alhamdullillah saya ketika itu dapat bekerja dengan satu bengkel secara separuh masa dengan gaji RM600,” ujarnya.

Setelah beberapa bulan bekerja di bengkel tersebut, Nur Suhaili berkata, dia menyambung pengajian di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) terletak di Shah Alam. Katanya lagi, di CIAST dia mengambil kursus tenaga pengajar automotif melibatkan komponen kereta seperti pendingin hawa dan bateri.
“Selepas tamat belajar di CIAST saya menjadi tenaga pengajar di Akademi Bateriku dengan pendapatan empat angka yang saya sentiasa syukuri sebagai anak muda dari kampung,” ujarnya.
Sementara itu seorang lagi tenaga pengajar Akademi Bateriku, Mohd. Alif Jasmari,26, berkata, sejak menuntut dalam pengajian Diploma Teknologi Aumotif di Institut Kemahiran MARA (IKM)
Pekan, Pahang tujuh tahun lalu dia terus fokus untuk berjaya dalam TVET.
Mohd. Alif yang merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik berkata, selepas tamat belajar dia bekerja di Bukit Rangin Bypass selama dua tahun dengan gaji dalam lingkungan RM800 hingga RM1,200.
“Saya bekerja membaiki kereta di bengkel tersebut sebelum melanjutkan pelajaran di CIAST untuk menjadi tenaga pengajar TVET.
“Selepas tamat belajar di CIAST saya terus bekerja di sini. Di Akademi Bateriku saya mengajar dalam bidang enjin seperti ‘overhaul’, ‘suspension’ dan lain-lain,” katanya.
Mohd. Alif memberitahu, selepas beberapa tahun kelak, dia berhasrat untuk membina perniagaan sendiri dalam bidang automotif. Sukatan pelajaran semasa di IKM jelasnya, turut mengajar para pelatih untuk menjadi usahawan.
“Kita perlu mempunyai wawasan dalam kehidupan. Sebagai anak sulung saya perlu menunjukkan contoh terbaik kepada dua adik saya.
“Alhamdullillah, kedua-duanya turut menuntut dalam bidang matematik dan kejuruteraan. Apa pun saya bersyukur kerana mendapat gaji yang lebih tinggi daripada kerja saya dahulu,” jelasnya.















