Dalam dunia yang serba pantas ini, tidak semua orang mampu mengimbangi pelbagai cabang kehidupan. Namun, bagi Afrina Mysara Mohd. Izhar, 24, ia adalah satu cabaran yang dihadapinya dengan penuh semangat.
Sebagai pelajar tahun akhir di UiTM Shah Alam dan pencipta kandungan TikTok, Mysara berjaya mencipta jejaknya dalam dunia akademik, fesyen, kecantikan dan kerjaya, sambil memberi inspirasi kepada pengikutnya dengan setiap langkah diambil.
Kepada Kosmo! Ahad, Mysara berkongsi perjalanan hidupnya yang penuh dengan pencapaian, serta bagaimana beliau terus mengembangkan potensi diri untuk mencapai impian yang lebih besar.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan tentang diri Mysara?
Mysara: Saya pelajar tahun akhir dalam Pengajian Bahasa Gunaan di UiTM Shah Alam. Setelah tamat latihan industri, saya kini mencari peluang kerjaya dalam bidang pemasaran, sumber manusia, atau komunikasi korporat. Sebagai pencipta kandungan di TikTok, saya telah berkolaborasi dengan lebih 15 jenama dan kafe. Saya meminati fesyen, kecantikan dan penjagaan kulit, serta aktif dalam bidang peragaaan, fotografi, dan menghadiri acara seperti KL Fashion Week.
Pengajaran terbesar dalam hidup?
Ketika bapa dimasukkan ke hospital akibat strok ringan. Saya belajar bahawa hidup tidak selalunya berjalan mengikut perancangan, dan kita perlu bersedia menghadapi cabaran luar jangka. Ia mengajar saya lebih bersyukur, sabar dan peka terhadap orang di sekitar terutamanya keluarga.
Siapa idola, apa yang dipelajari?
Papa (bapa). Walaupun melalui pelbagai cabaran, dia sentiasa berusaha memberi yang terbaik untuk keluarga dan mengajar saya untuk terus kuat dan senyum, walaupun menghadapi dugaan seperti selepas strok ringan. Selain papa, saya juga mengagumi Hailey Bieber kerana fesyen, gaya, dan cara dia mengekspresikan diri. Saya kagum bagaimana dia berjaya mengimbangi perniagaan, kerjaya model, dan menjadi isteri pada usia muda, membuktikan bahawa wanita mampu berjaya dalam pelbagai peranan.
Minat berlakon atau peragaan, nak kolaborasi dengan siapa?
Saya lebih suka peragaan berbanding lakonan kerana saya agak pemalu di depan kamera. Saya sangat gembira dapat menjadi model Melynis.co. Ini juga adalah pekerjaan peragaan pertama saya dan akan ada lebih banyak lagi. Jika diberi peluang, saya ingin menjadi model untuk mana-mana jenama pereka, walaupun saya agak ‘comel’ untuk menjadi model ketinggian saya 155 sentimeter.
Ciri-ciri lelaki pilihan? Perancangan tamat zaman bujang?
Saya suka lelaki penyayang, lucu, boleh diharap, tinggi, menghormati, dan setia. Saya tiada perancangan segera untuk berkahwin. Fokus utama saya sekarang adalah untuk memajukan kerjaya dan perkembangan peribadi, kerana itu membantu saya menjadi versi diri yang lebih baik di masa depan. Walau bagaimanapun, jika sudah ditakdirkan, mungkin dalam tiga tahun lagi.
Siapa Mysara 10 tahun lagi?
Saya akan berkahwin dan mempunyai dua anak. Sudah tentu, saya juga membayangkan kejayaan dalam kerjaya, dengan perkembangan yang pesat secara profesional dan peribadi. Saya juga berharap dapat mengembara lebih banyak, semoga bersama anak-anak yang comel dan suami. Mungkin pada masa itu, saya juga dah ada perniagaan saya sendiri, insya-Allah.














