fbpx
Beberapa al-Quran dalam bot yang terdampar di pantai Teluk Yu, Ayer Hangat Langkawi itu.

‘Jumpa al-Quran, kain pelekat di pantai, tapi orang tiada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Misteri penemuan sebuah bot asing yang terdampar di pantai Teluk Yu, Ayer Hangat di sini, sejak semalam, terjawab apabila ia digunakan oleh ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki negara ini secara haram.

Selain bot berkenaan, penduduk tempatan turut menemui pelbagai barangan termasuk pakaian dan makanan yang berselerak di sepanjang pesisir pantai tersebut.

Kehadiran bot itu turut mencetus kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai keselamatan mereka selepas ada yang mendakwa melihat keha­diran ratusan orang asing di pantai itu sejak semalam.

Susulan laporan yang dite­rima, Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan pihaknya telah menahan seramai 196 PATI dari Myanmar yang terkandas di pantai tersebut.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, operasi penahanan kesemua warga asing itu bermula pada pukul 3.25 pagi sebelum pihaknya mengaktifkan Operasi GUARD Bil. 4/2025 bagi mengesan saki-baki PATI yang melarikan diri.

“Maritim Malaysia telah menggerakkan bot dan kapal ke lokasi pendaratan, membuat rondaan di sekitar perairan utara Langkawi serta di kawasan sempadan negara. Kita juga telah mengatur gerak pesawat udara bagi melak­sanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan PATI berkenaan.

“Bukan itu sahaja, Maritim Malaysia turut berhubung de­ngan pihak penguat kuasa Thailand untuk mengenal pasti sama ada pergerakan dua lagi bot yang membawa PATI dikesan oleh pihak negara berkenaan,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat dua lagi bot yang membawa PATI berada di tengah laut, tetapi lokasi sebenar tidak dapat dikenal pasti.

Sebelum ini, penduduk di sekitar pantai berkenaan melahirkan kegusaran dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan susulan kehadiran bot asing di pantai tersebut.

Selain bot berwarna biru yang tersadai di pantai, penduduk turut menjumpai sejumlah naskhah al-Quran, kain pelekat, beg pakaian, botol minuman dan plastik berisi makanan di sekitar pantai tersebut.

Seorang penduduk dikenali sebagai Ramli, 74, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kehadiran bot misteri itu ketika melalui kawasan pantai pada pagi semalam.

“Apa yang pelik apabila kawasan bot tersebut terdampar merupakan kawasan yang tidak dibenarkan untuk mendarat.

“Selepas itu, ada penduduk lain mendakwa melihat kira-kira 200 orang Rohingya telah mendarat di kawasan itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk dikenali Fatimah, 60, berkata, ini merupakan kali pertama mereka melihat sebuah bot besar terdampar di kawasan pantai awam itu.

Katanya, apa yang dibimbangkan adalah mengenai ke­selamatan penduduk setempat memandangkan mereka tidak mengetahui status sebenar bot tersebut.

“Kalau betul bot itu dari luar, memang kami akan risau kerana apa-apa kemungkinan boleh berlaku. Cara mereka memasuki negara kita juga tidak betul,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Abdullah, 64, dia mempersoalkan tentang kawalan keselamatan di perairan negara sehingga menyebabkan bot tersebut boleh sampai dan terdampar di pantai kampung mereka.

“Biasanya bot nelayan yang berdekatan sempadan akan ditahan oleh polis, tetapi bot sebesar ini boleh terlepas.

“Cara mereka masuk boleh memberikan ancaman keselamatan kepada penduduk setempat dan seolah-olah tiada pengawasan yang dibuat oleh pihak berkuasa,” katanya.

Kali terakhir pendaratan beramai-ramai PATI dari negara ­Myanmar di Pulau Langkawi adalah pada Jun 2020.

Ketika itu, bot yang membawa seramai 269 warga Rohingya telah mendarat di Teluk Nibong sekitar pukul 4.20 pagi.

Berdasarkan laporan awal, kumpulan pelarian itu dipercayai bersesak-sesak di dalam bot sempit selama empat bulan dari kem pelarian Cox Bazar, Myanmar sebelum tiba di Langkawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN