fbpx
Tahun Baharu 2025 disambut dengan begitu meriah di seluruh negara disusuli dengan azam baru untuk berubah menjadi lebih baik.

Muhasabah 2025, mati tidak pernah kenal usia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Masa berlalu begitu pantas. Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Sama ada sedar atau pun tidak, kini kita sudah pun melangkah ke Tahun Baharu 2025 disambut dengan begitu meriah disusuli azam baru.

Justeru, sambutan tahun baharu tidak boleh dicemari perbuatan tidak beradab, kerana segala keazaman yang dibuat tidak akan memberikan sebarang makna dan nilai.

Sebagai umat Islam, kita perlu menyedari dan sentiasa bermuhasabah untuk meningkatkan kualiti diri dan proaktif untuk menjadi manusia berguna duniawi dan ukhrawi.

Setiap detik dan masa berlalu dalam kehidupan ini tidak boleh disia-siakan walaupun sedikit. Berusahalah untuk memanfaatkan waktu yang Allah kurniakan sebaik mungkin.

Ingatlah, apabila tahun 2025 menjengah, hal ini bermakna umur kita makin meningkat, usia semakin singkat, kubur itu makin dekat, ia suatu hakikat.

Setiap Muslim wajib berusaha dan berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amalan soleh. Dalam surah al-Ma’idah ayat 48, Allah berfirman yang bermaksud ‘maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan.’

Menurut Syeikh Muhammad ‘Ali al-Sobuni dalam Safwat al-Tafasir, ia bermaksud hendaklah bersegera melakukan sesuatu yang membawa kebaikan iaitu mentaati Allah dan melaksana segala peraturan-Nya.

Bersegera melakukan sesuatu bermaksud sesuatu yang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi kerana orang beriman dan cerdik adalah mereka yang menyedari masa sentiasa menghambat mereka dan tidak boleh dikembalikan lagi.

Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam surah al-Asr bagi menggambarkan kepentingan untuk tidak bertangguh dalam melakukan sesuatu. Firman Allah bermaksud: ‘Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.’ (Surah al-Asr: 1- 3).

Baiki diri

Nabi SAW menyifatkan orang yang sentiasa bermuhasabah diri dan tidak bertangguh dalam melakukan sesuatu yang baik adalah orang yang cerdik sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi yang bermaksud: ‘Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki dirinya dan beramal soleh sebagai persediaan untuk hari selepas kematian.’

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 114 bermaksud: ‘Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan mereka menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang yang soleh.’

Dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran pula Allah menyatakan yang maksudnya: ‘Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa.’

Menurut Wahbah Zuhaily dalam Tafsir Munir (1991: 2/86), dalam ayat ini Allah menyuruh agar bersegera melakukan amalan ketaatan seperti sedekah, silaturrahim, bekerjasama, tolong-menolong dan menjauhi perkara dosa seperti riba dan seumpamanya.

Amalan kebajikan yang dilakukan ini dapat mewujudkan masyarakat Islam yang saling rahmat merahmati dan hidup dalam keadaan tenang dan bahagia serta jauh daripada sifat hasad dengki dan membenci. Allah juga memberikan berita gembira kepada mereka dengan balasan syurga.

Amalan kebajikan adalah sesuatu yang wajib dilakukan sebagai manifestasi perhambaan seseorang kepada Allah SWT.

Apabila seseorang itu bermuhasabah terhadap dirinya, maka dia akan menyedari betapa kehidupan di dunia adalah kehidupan yang memikul tanggung jawab dan akan dipersoalkan di akhirat sama ada tanggungjawab itu dilaksanakan atau tidak ketika hidup.

Sesuatu yang wajar diperingatkan ialah amalan kebajikan yang dilakukan hendaklah berniat ikhlas, iaitu tujuan dan niatnya hanya kepada Allah. Jika niat yang serong, maka amalan yang dilakukan hanya mendapat penat dan letih.

Justeru, niat ikhlas untuk mendapat keredaan Allah mestilah dipupuk agar amalan itu termasuk dalam kategori amalan yang soleh. Namun begitu, ini tidak bermakna selagi tidak datang ikhlas maka amalan soleh tak perlu dibuat.

Macam sesetengah orang yang mengatakan ‘aku tak akan tutup aurat sehinggalah ikhlas datang…kerana aku tak nak jadi hipokrit…lagipun tutup aurat kalau tak ikhlas sia-sia juga’.

Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa jahilnya seseorang itu, kerana apabila tidak dibuat amalan itu, bagaimana nak datang ikhlas? Ikhlas tak akan datang selagi ia tidak dilaksanakan!

Sebab itu, kewajipan yang fardhu wajib dilaksanakan terlebih dahulu sama ada sudah ada ikhlas atau pun tidak seperti solat, puasa dan tutup aurat.

Orang muda

Anggapan golongan belia dan golongan muda perlu enjoy terlebih dahulu sebelum bertaubat ketika usia meningkat adalah satu gambaran salah yang dicetuskan oleh tipu daya iblis dan syaitan kerana kematian tidak pernah mengenal usia sama ada muda ataupun tua.

Berapa ramai orang muda hari ini terlebih dahulu dijemput Ilahi berbanding golongan tua. Setiap individu sama ada muda atau tua mestilah bersiap sedia dengan amalan soleh agar dapat bertemu Allah dengan keimanan yang utuh jauh daripada tipu daya dan belitan iblis.

Kalau diimbas kembali pada zaman Rasulullah SAW, kita mendapati golongan belia merupakan pemangkin ke arah kelangsungan dakwah Islam.

Kehebatan belia pada zaman Rasulullah terserlah apabila mereka bersungguh-sungguh melakukan segala apa yang boleh memberi kebaikan kepada Islam. Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam bukunya fiqh al-sirah menceritakan mengenai ketekunan pemuda dan pemudi dalam menjayakan usaha hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah.

Pendokong dakwah pada zaman nabi kebanyakan mereka belia selian golongan dewasa, malah ratusan ribu lagi pejuang Islam terdiri daripada belia yang membawa panji Islam serta menjadi benteng pertahanan atau serangan bala tentera.

Usamah bin Zaid diangkat oleh nabi sebagai ketua untuk memimpin pasukan kaum muslimin menyerbu wilayah Syam (saat itu merupakan wilayah Rom) dalam usia 18 tahun. Abdullah bin Umar pula telah memiliki semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan Islam sejak berumur 13 tahun.

Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman ialah Mufti Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN