fbpx
Seramai 429 pelatih karate dalam kalangan kanak-kanak dan remaja mencipta rekod Malaysia jumlah calon terbanyak menyertai peperiksaan penggredan tali pinggang hitam yang berlangsung di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

‘Menyelami’ peperiksaan tali pinggang hitam karate

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA dalam dewan peperiksaan Karate Hayashi-ha menjadi sunyi saat remaja lelaki berusia 15 tahun tersebut menetapkan fokus terhadap juri-juri di hadapannya.

Aksi dimulakan dengan anak kelahiran ibu kota itu melakukan tunduk rasmi untuk menunjukkan rasa hormat kepada dojo, pengajar dan seni karate.

Terdapat dua bahagian utama peperiksaan yang perlu dilalui remaja bernama Thaneermalai Nagapan itu bersama 428 calon lain sebelum mereka layak meraih tali pinggang hitam peringkat Shodan.

Dua bahagian utama yang perlu ditempuhi kesemua calon di dewan tersebut adalah kihon (asas) dan kata (formasi).

Menurut anak sulung kepada dua beradik tersebut, cabaran paling sukar dalam peperiksaan itu adalah kata kerana ia memerlukan penguasaan masa, irama, kuasa, kehalusan pergerakan dan aplikasi.

“Untuk peperiksaan kihon, kami perlu melakukan teknik asas seperti tumbukan, tendangan, hadangan dan pendirian secara urutan atau gabungan.

“Sementara itu, bagi peperiksaan kata, kami perlu melakukan aksi kata sesuai dengan peringkat yang ingin kami capai.

“Oleh kerana ini adalah peperiksaan tali pinggang hitam, kami perlu mempersembahkan kata lanjutan iaitu Bassai Dai,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur itu merupakan salah seorang calon peperiksaan penggredan tali pinggang hitam karate Hayashi-Ha yang berlangsung di kompleks Panasonic Sports Complex, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Peperiksaan yang melibatkan 429 pelatih dari pelbagai peringkat umur serta latar belakang tersebut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) untuk jumlah calon paling ramai dalam peperiksaan penggredan tali pinggang hitam karate.

Pengiktirafan bersejarah tersebut diberikan kepada Persatuan Karate Hayashi-Ha Negeri Selangor sebagai penganjur peperiksaan seni bela diri daripada Jepun tersebut.

Acara dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sukan, Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Norazreen Sulaiman.

Menyertai karate sejak usia kanak-kanak, Thaneermalai mendedahkan bahawa dia memakan masa selama enam tahun untuk mencapai tahap tali pinggang hitam provisional tahun lalu.

“Saya mula menyertai karate pada usia sembilan tahun apabila diajak oleh rakan-rakan sekolah. Sejak itu, saya banyak menyertai pertandingan di peringkat sekolah dan daerah.

“Walaupun ramai rakan saya telah berhenti separuh jalan atau berehat seketika, saya masih teruskan. Kini, saya merupakan pemegang ranking tertinggi bagi karate di sekolah saya,” katanya.

Untuk pengetahuan, Hayashi-ha ialah gaya karate terkemuka yang merupakan cabang sistem Shito-Ryu, salah satu daripada empat gaya karate utama di Jepun.

Gaya tersebut diasaskan oleh Teruo Hayashi iaitu seorang sarjana yang berusaha untuk memperhalusi dan mengembangkan ajaran pengasas Shito-Ryu, Kenwa Mabuni.

Hayashi-ha terkenal dengan kurikulum komprehensifnya yang menekankan kedua-dua teknik karate tradisional Okinawa dan prinsip seni mempertahankan diri moden.

Sistem ranking karate Hayashi-ha mengikut struktur pangkat karate tradisional iaitu melalui tali pinggang berwarna untuk gred Kyu (pelajar) dan tali pinggang hitam untuk gred Dan (master).

Peringkat pertama adalah warna putih, diikuti hijau, biru, ungu dan kemudian coklat yang memiliki empat tahap sebelum tiba di hitam provisional selama setahun.

Setelah setahun, pengamal seni mempertahankan diri tersebut boleh mempertingkat lagi kemahiran dan kedudukan mereka melalui 10 ranking gred Dan.

Peringkat-peringkat tersebut tersebut adalah Shodan (Dan pertama), Nidan (Dan kedua), Sandan (Dan ke-3), Yondan (Dan ke-4), Godan (Dan ke-5), Rokudan sehingga Hachidan (Dan ke-6 hingga 8), Kyudan (Dan ke-9) dan Judan (Dan ke-10).

Sementara itu, seorang lagi calon peperiksaan, Irisnaufal Faxkeri, seorang pemegang tali pinggang coklat pula tampil untuk menghadapi peperiksaan tali pinggang hitam provisional.

Biarpun baru menginjak usia 12 tahun, pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning 2 di Shah Alam, Selangor tersebut memiliki impian mewakili Selangor di Sukan Malaysia (Sukma) pada satu hari nanti.

“Saya mula sertai karate pada usia lapan tahun sebab hendak mengisi masa lapang, tetapi sekarang saya sudah ada minat yang sangat mendalam terhadap sukan ini.

“Saya berharap dapat capai ke tahap setinggi boleh dalam sukan ini. Salah satunya adalah menyertai sukan Sukma satu hari nanti,” katanya.

Lebih menarik, anak tunggal dalam keluarga itu merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang menyertai sukan tersebut ketika diperkenalkan di sekolahnya.

Ini kerana sukan tersebut lebih popular dalam kalangan pelajar-pelajar kaum India, namun situasi tersebut sudah mula berubah sekarang.

Jelas Irisnaufal, cabaran terbesar buatnya dalam sukan tersebut adalah pembahagian masa antara sukan tersebut dengan pelajaran dan komitmen kokurikulum lain.

“Di peringkat Kyu, seseorang itu boleh meraih dua tahap ranking dalam masa setahun, sementara di tahap Dan, hanya boleh setahun sekali.

“Sepatutnya saya boleh ke tahap tali pinggang hitam provisional pada tahun lalu. Tetapi disebabkan komitmen lain, saya terpaksa tangguh sebanyak tiga kali,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Persatuan Karate Hayashi-Ha, Thennavan Ponniyah menyatakan bahawa penyertaan yang jauh lebih besar itu menunjukkan minat yang tinggi terhadap karate sebagai satu bentuk seni mempertahankan diri.

Ujarnya, usaha cipta rekod baharu Most Candidates in A Karate Black Belt Grading Examination dari MBOR telah diatur sejak awal Januari tahun lalu.

“Kebiasaannya, jumlah calon yang terlibat dalam sesi peperiksaan penggredan tali pinggang hitam tidak lebih daripada 100 orang.

“Langkah ini bertujuan untuk meraikan pencapaian para pelatih yang telah menjalani latihan seni mempertahankan diri.

“Saya yakin pengiktirafan ini akan menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai karate, sekali gus memberi manfaat dalam aspek disiplin, kesihatan, dan pembangunan peribadi mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN