Iqbal tidak menyangka mampu muncul juara dalam pertandingan e-perlumbaan anjuran Toyota pada 2022.

K2

Hebat berlumba e-racing, Iqbal tetap utama ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERLUMBAAN e-racing (e-perlumbaan) kini semakin popular di negara ini. Malah, penganjuran pelbagai kejohanan di peringkat tempatan dan antarabangsa telah berjaya melahirkan ramai bakat baharu pelumba simulasi, khususnya bagi permainan Gran Turismo atau dikenali sebagai GT.

GT merupakan judul permainan video perlumbaan kereta yang dikeluarkan secara eksklusif untuk konsol PlayStation.

Simulasinya direka untuk meniru penampilan dan prestasi pelbagai jenis kenderaan yang kebanyakannya adalah pengeluaran semula secara berlesen bagi kereta dunia nyata.

Peminat dan pengikut permainan sukan elektronik (e-Sukan) bergenre perlumbaan kereta GT di negara ini pastinya mengenali salah seorang pemain hebat dalam sukan itu iaitu Muhammad Iqbal Ahmad Suji.

Anak kelahiran Shah Alam, Selangor yang menyandang gelaran juara Gran Turismo 7 (GT7) pada Kejohanan E-Sukan Malaysia 23/24 edisi ketiga yang berlangsung awal tahun lalu itu merupakan seorang pemain berpengalaman dalam dunia perlumbaan simulasi.

Pemuda berusia 27 tahun itu pernah memenangi beberapa kejohanan seperti Toyota GAZOO Racing Velocity Esports Championship pada tahun 2022.

Bercerita tentang minat terhadap e-perlumbaan, Muhammad Iqbal atau lebih mesra disapa sebagai Iqbal memberitahu, minatnya terhadap permainan lumba kereta bermula sejak kecil.

“Saya sememangnya sudah meminati kereta sejak kecil lagi dan mula berjinak-jinak dengan permainan simulasi sejak penghujung 2018. Ketika itu juga, saya mula membeli peralatan simulator kereta.

“Pada mulanya, saya bermain secara suka-suka, namun lama-kelamaan, minat semakin berkembang.

“Selepas itu, saya mula menyertai beberapa pertandingan simulasi lumba kereta peringkat kecil.

“Dalam tempoh itu juga, saya mula menyedari bahawa permainan ini ada potensi, bahkan hadiah yang ditawarkan juga agak lumayan,” katanya.

Menurut pegawai penyelidik sambilan itu, pada 2019, dia mula menyertai pertandingan e-perlumbaan besar pertamanya iaitu TGR GT Cup Malaysia yang dianjurkan di pusat beli-belah, Pavilion Kuala Lumpur dan berjaya layak ke peringkat separuh akhir.

Selepas menyedari potensi diri dalam sukan itu, Iqbal berlatih bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyandang tempat ketiga dalam pertandingan sama pada tahun berikutnya.

Iqbal memaklumkan, sehingga kini, hadiah paling lumayan yang diterimanya sejak bermain sukan elektronik GT adalah wang tunai berjumlah RM20,000.

Semangat tidak kenal lelah dan sentiasa belajar daripada mereka yang lebih hebat telah membantu Iqbal untuk terus melakar kejayaan dalam bidang e-Sukan.

Pada pertandingan Toyota GAZOO Racing Velocity Esports Championship tahun 2022 itu dia muncul johan.

Memandangkan Iqbal mula terlibat secara serius dalam bidang e-Sukan ketika masih bergelar pelajar universiti, maka dia banyak menghabiskan waktu malam untuk mengasah bakatnya dalam e-perlumbaan.

“Saya juga tidak mengambil masa lama untuk bermain, biasanya saya bermain sekitar 30 minit sehari.

“Namun, jika ditanya tentang tempoh bermain paling lama, saya pernah berlumba GT tanpa henti selama 11 jam dan ‘terpaksa’ berhenti apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus,” tuturnya.

Biarpun mengakui penglibatan sepenuh masa dalam e-Sukan menjanjikan pulangan lumayan, namun Iqbal yang juga merupakan lulusan bidang perubatan daripada Universiti Kebangsaan

Malaysia tidak melihat bidang tersebut sebagai kerjaya tetapnya.

Bagi anak bongsu daripada tiga beradik itu, ilmu atau ijazah daripada institusi pengajian tinggi amat penting, memandangkan ia boleh menjadi penyelamat sekiranya bidang e-Sukan sudah tidak sehebat sekarang.

“Saya akui, ramai berjaya memperoleh ganjaran besar, khususnya menerusi pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan.

“Disebabkan itu, ramai terfikir untuk terlibat dalam bidang ini secara sepenuh masa.

“Namun, berdasarkan satu kajian yang saya baca, kejayaan seseorang dalam dunia e-Sukan atau pempengaruh dengan jumlah pengikut ramai tidak hanya bergantung kepada bakat dan kerja keras, sebaliknya tuah juga memainkan peranan.

“Bagi saya, biar sehebat mana pun bakat yang dimiliki, namun ilmu itu tetap penting.

“Hal ini kerana ia boleh menjadi penyelamat atau pelan B sekiranya perkara yang diusahakan ketika ini tidak berhasil,” katanya sambil menasihati generasi muda supaya berusaha mendapatkan pendidikan sehingga ke menara gading.

Sementara itu, bagi belia yang ingin menjadikan Iqbal sebagai inspirasi, dan mahu mengikut jejak langkahnya, dia mengingatkan mereka supaya tidak mudah patah semangat serta sentiasa belajar.

“Secara peribadinya, biarpun saya sudah di peringkat ini, namun saya masih belajar daripada mereka yang lebih hebat daripada saya.

“Jangan sesekali mendabik dada dan menganggap diri anda paling laju.

“Hal ini kerana akan sentiasa ada orang lain yang lebih laju daripada anda, dan apabila anda menyedari perkara itu, ia akan mengganggu prestasi anda,” katanya.

Mengakhiri bicara, Iqbal berkongsi harapannya supaya lebih banyak penganjuran sukan e-perlumbaan di peringkat tinggi dianjurkan pada masa depan.

Ujarnya, hal ini memandangkan terdapat ramai pemain e-perlumbaan yang berbakat besar, dan menunggu masa sahaja untuk menyinar, sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN