SUNGAI BULOH – Penduduk di Taman Seri Alam mengalami kerugian besar selepas kolam tadahan air berhampiran kawasan perumahan itu pecah kelmarin mengakibatkan banjir lumpur melanda beberapa lorong di taman tersebut.
Tinjauan Kosmo! di sini mendapati, keadaan kawasan perumahan itu dipenuhi lumpur tebal, manakala beberapa penduduk sibuk membersihkan rumah mereka yang rosak teruk. Kenderaan yang terjejas akibat banjir juga kelihatan diletakkan di tepi jalan.
Bencana yang berlaku sekitar pukul 4 petang itu berpunca daripada benteng kolam yang tidak mampu menahan limpahan air akibat hujan lebat. Air deras membawa lumpur ke kawasan perumahan, menyebabkan kerosakan teruk kepada harta benda penduduk.
Seorang guru yang tinggal di Lorong 6, Roslita Ramli, 40, berkata, ini merupakan kali kedua rumahnya dilanda banjir sejak 10 tahun tinggal di kawasan itu.
“Ketika kolam tadahan air itu pecah, saya ada di rumah bersama anak dan suami.
“Kejadian semalam (kelmarin)lebih teruk berbanding tahun 2015 kerana air naik hingga paras lutut.
“Banyak perabot seperti kabinet dapur, katil dan almari rosak. Kami tanggung kerugian hampir RM30,000 kerana baru menukar semua perabot selepas kejadian. Saya berharap kolam ini dipindahkan ke kawasan yang bukan perumahan kerana ia tidak sesuai,” katanya yang kini trauma dengan kejadian itu.
Seorang suri rumah, Haminah Abdul Hamid, 38, turut terkesan apabila rumahnya yang terletak berhampiran benteng kolam tersebut dinaiki air hingga paras pinggang.
“Kejadian berlaku dalam pukul 4 petang ketika hujan lebat. Suami saya merakam gambar kejadian air melimpah keluar dari kolam sebelum benteng pecah dengan bunyi dentuman yang sangat kuat.
“Kami risau dengan kos untuk membaiki kereta dan menukar perabot. Sebelum ini, lorong lain tidak pernah dimasuki air, tetapi kali ini hingga ke Lorong 12. Malam tadi (kelmarin), saya hanya tidur-tidur ayam kerana risau kejadian akan berulang,” katanya.
Seorang penduduk, Ahmad Sofian Omar, 50, berkata, limpahan air lumpur yang deras menyebabkan kerosakan kepada hampir semua perabot di rumahnya.
“Saya hanya sempat selamatkan dua buah kereta. Satu lagi tidak sempat dan terjejas teruk. Kerugian yang saya alami dianggarkan RM10,000 hingga RM15,000.
“Bukan semua benda yang rosak boleh dituntut melalui insurans. Kami juga kecewa kerana masalah ini telah berpanjangan sejak 10 tahun lalu walaupun pelbagai jaminan diberikan oleh pihak pemaju,” katanya.
Penduduk kini berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk menangani masalah ini termasuk mempertimbangkan pampasan bagi meringankan beban yang ditanggung.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kolam tadahan air di Taman Seri Alam pecah petang kelmarin selepas hujan lebat, mengakibatkan banjir lumpur yang melanda kawasan perumahan tersebut.















