KUALA LUMPUR – Kehidupan seorang lelaki yang menagih dadah sejak usia 15 tahun berubah sekelip mata apabila dia disahkan menghidap penyakit HIV, tahun lalu.
Dalam tinjauan Kosmo! di ibu negara baru-baru ini, lelaki itu yang juga bekas mak nyah ditemui dalam keadaan yang tidak terurus dengan kakinya berkudis sehingga dihurung lalat di sebuah rumah terbiar.
Meskipun rumah itu hanya tinggal tiang akibat terbakar dan dipenuhi sampah sarap, lokasi itu dipercayai turut dijadikan sarang penagih dadah.
Menceritakan kepada Kosmo! individu yang mahu dikenali sebagai Ana, 32, berkata, kehidupannya kini diibaratkan seperti ‘mati segan hidup tak mahu’.
Menurutnya, dia juga sukar mendapatkan bantuan kerana tiada siapa yang mahu mendekatinya ekoran keadaan kesihatannya dan kakinya yang bernanah.
“Semuanya berlaku terlalu pantas, pada mulanya kaki saya hanya ada bisul sebelum membengkak. Selepas itu, saya mengalami sakit perut dan doktor sahkan saya menghidap HIV, Oktober tahun lalu.
“Sejak dari itu, hidup saya susah. Tak boleh bekerja dan saya mula menginap di kaki lima atau mana-mana sahaja yang boleh.
“Tiada orang nak dekat dengan saya. Saya pun takut dan malu nak jumpa orang sebab nanah dekat kaki ini berbau busuk,” katanya.
Ana memberitahu, dia mula terjebak mengambil dadah jenis syabu ketika menjalankan aktiviti tidak bermoral melayan lelaki di sekitar Ampang di sini.
“Saya jadi mak nyah selepas lari dari rumah pada usia 13 tahun dan mula membuat kerja pelacuran untuk mencari pendapatan.
“Waktu itu, saya tak ambil sebarang jenis dadah. Pelanggan saya yang bawa dan ajar saya hisap (syabu),” jelasnya.
Katanya, meskipun pernah hidup selesa bergelar mak nyah sehingga memperoleh ribuan ringgit, namun semuanya sia-sia apabila hidupnya menjadi susah.
“Selepas ibu bapa saya meninggal dunia, saya hidup sebatang kara. Sebelum ini, saya ada segalanya, ada kerja dan boleh menyewa rumah yang selesa. Dulu, satu hari saya boleh dapat dalam RM2,000.
“Sekarang, nak berjalan pun sakit, apatah lagi nak buat ‘kerja malam’. Saya pun dah tak sanggup hidup dengan keadaan macam ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ana berkata, dia sedang berusaha untuk berubah dan berhenti daripada mengambil dadah.
“Sekarang dah jarang ambil dadah sebab duit pun tak ada. Cuma tak sampai ‘seru’ lagi untuk bertaubat sepenuhnya. Mungkin satu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, seorang penagih dadah yang mahu dikenali sebagai Tajuddin, 45, yang berasal dari Kuala Lumpur turut menjadikan lokasi itu sebagai tempat untuk menginap.
Keadaan Tajuddin ketika ditemui dilihat seperti kurang siuman apabila sering bercakap seorang diri sehingga ada kalanya bertindak di luar jangka sekali gus mengganggu ketenteraman awam.
“Sekarang tidak hisap dadah, tapi inilah tempat saya. Dahulu saya duduk di tokong berhampiran. Dekat sini ada kawan-kawan. Kalau ada masa, saya bersihkan sampah di sini bagi selesa nak duduk dan tidur,” jelasnya.














