MERCEDES EQ merupakan subjenama kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya berasaskan seni bina modular untuk segmen kenderaan elektrik mewah.
Selaras ke arah elektrifikasi mewah, Mercedes Benz Malaysia (MBM) telah meluaskan tawaran kenderaan elektrik dengan pelancaran model EQE 350+ 2024 varian baharu yang datang dalam versi sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Model baharu SUV adalah merangkumi varian EQE 350+ SUV Electric Art (EA) yang dijual pada harga RM398,888 dan EQE 350+ SUV AMG Line berharga RM448,888 (atas jalan raya tanpa insurans).
EQE menggabungkan kemewahan, teknologi, reka bentuk, fungsi dan ketersambungan yang direka untuk keselesaan pemandu dan penumpang dengan kelas tersendiri.
Baru-baru ini penulis berpeluang memandu uji EQE 350+ SUV AMG Line yang mempunyai ciri-ciri SUV EV eksekutif mewah dengan konfigurasi lima tempat duduk.
Pemanduan dengan SUV mewah ini amat selesa terutama bagi mereka yang berkeluarga dengan saiz kenderaannya yang kompak.
Bagi penulis, pemanduan dengan EV EQE 350+ SUV AMG Line ini tidak meresahkan.
Ini kerana, ia mempunyai jarak gerak sejauh 485 hingga 596km untuk pengecasan penuh.
Menjadikan pemanduan lebih realistik ialah kehadiran simulasi bunyi enjin dalam EV eksekutif ini sehingga tanpa sedar penulis telah memecut mencecah hampir 200km/j dengan yakin ketika memandu di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas).
Dari segi pengendalian, kepakaran jenama Jerman itu tidak dapat dinafikan apabila penulis melalui selekoh lebuh raya dengan pecutan dan kestabilan tanpa rasa ‘membuai’ dibantu reka bentuknya yang aerodinamik.
Selain itu, memandu SUV mewah ini tidak ubah seperti memandu kenderaan konvensional enjin pembakaran dalaman (ICE) yang mana apabila pedal ditekan pecutannya selari.
Walaupun memandu ketika hujan dengan jalan licin, kuasa yang dibekalkan sangat responsif dan brek apabila ditekan berfungsi dengan kadar yang lancar.
Rekaan pada bahagian luar pula menerapkan elemen futuristik dengan lampu digital bersama teknologi Adaptive Highbeam Assist Plus dan pakej AMG Line.
Ia diperkemas dengan rim aloi lima jejari AMG berukuran 20 inci selain gril radiator dengan logo bintang Mercedes-Benz serta rel bumbung.
Varian AMG Line diberikan kelengkapan tambahan termasuk bumbung suria panoramik, sistem suspensi udara Airmatic, kawalan stereng gandar belakang, sistem audio Burmester 3D dan kerusi sport.
Dari segi kuasa pula, SUV eksekutif ini dipacu oleh satu motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 292hp dan tork tertinggi 565Nm.
Ia boleh memecut dari pegun hingga 100km/j dalam masa 6.7 saat.
Dengan bateri berkapasiti 90.56kWh, EQE 350+ SUV AMG Line menawarkan jarak gerak antara 485 hingga 596km berdasarkan kiraan ‘atas kertas’ atau WLTP.
Tahap penggunaan tenaga pula adalah sekitar 21.6 hingga 17.5kWh bagi setiap 100km.
Kelajuan pengecasan yang dikemas kini membolehkan pengecasan penuh AC 22 kW dalam masa 4 jam 45 minit, manakala untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas pantas DC 170kW yang hanya mengambil masa 32 minit.
Meninjau ke ruangan kabin pula, EQE 350+ SUV AMG Line tampil mewah dengan pelbagai ciri premium serta tempat duduk hadapan hadir dengan fungsi memori dan pemanas berciri sokongan lumbar empat arah turut disediakan.
Antara ciri menarik pada model ini juga seperti suspensi udara Airmatic dengan penyerap hentak ADS+, MBUX Hyperscreen dengan panel meter 12.3 digital, sistem infotainment bersaiz 17.7 inci dan papan pemuka kayu magnolia berwarna perang dengan kemasan aluminium logo Mercedes.
Bagi ciri-ciri keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan fungsi Driving Assistance Package Plus menerusi Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist dan Evasive Manoeuvre Support.
Kesimpulannya, penulis merasakan EQE 350+ SUV AMG Line merupakan sebuah EV eksekutif mewah yang mampu memberi saingan kepada jenama-jenama EV mewah di pasaran dengan tambahan keselesaan dan ciri pemanduan pada tahap tertinggi.
Aspek yang mewah dengan gabungan teknologi bagi mengurangkan emisi karbon amat signifikan dengan model EV ini yang bukan sahaja menarik bahkan menjanjikan kepuasan pengguna.














