LANGKAWI – Musim cuti persekolahan yang bermula minggu ini memberi limpahan rezeki buat pemain industri pelancongan di pulau lagenda ini.
Tinjauan di lokasi tumpuan pelancong, kereta kabel SkyCab Langkawi mendapati, jumlah pengunjung didapati lebih banyak daripada biasa.
Menurut ejen kereta sewa, Amirul Amar, 38, berkata, tempahan kereta sewa miliknya laris dan hampir penuh.
“Kira-kira 80 peratus kereta sewa milik saya telah ditempah untuk disewa pelancong sepanjang cuti persekolahan berbanding lebih kurang 50 peratus sebelum ini.
“Rata-rata rakan pemilik kereta sewa yang lain juga menyatakan perkara yang sama, ada peningkatan dalam tempahan tetapi pengunjung yang berhasrat untuk ke sini masih boleh membuat tempahan,” ujarnya.
Seorang pemandu pelancong, Izzat Hazmie Shrkawi, 34, berkata, kadar kemasukan pelancong sudah mula menunjukkan trend peningkatan pada awal cuti.
“Kalau di sini, boleh lihat sendiri ada ramai pengunjung sedang beratur dan menunggu untuk menaiki kereta kabel.
“Keadaan ini menunjukkan pelancong mula memasuki Langkawi untuk bercuti,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha chalet, Yusmiza Yum, 45, berkata, dia tidak menerima tempahan daripada pelancong tempatan walaupun cuti persekolahan sudah bermula pada minggu ini.
“Saya tidak mendapat tempahan pelancong tempatan untuk cuti persekolahan kali ini, walaupun ada saja yang menginap sebelum cuti kali ini.
“Walaupun tiada pelancong tempatan, tetapi ada banyak pelancong asing yang menginap di sini, jadi chalet kami tidaklah kosong,” katanya.














