PENGANJURAN pelbagai aktiviti kesenian seperti muzikal dan teater bagi mengumpul dana sambil berhibur sememangnya sesuatu yang menarik.
Justeru, bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada pusat jagaan ibu tunggal, Pusat Jagaan Titian Kaseh dan pusat jagaan kanak-kanak kurang bernasib baik, Rumah
HOPE, Sekolah Sri KDU, Kota Damansara, Selangor telah menganjurkan program malam muzikal.
Muzikal bertajuk ‘Arabian Nights: The Aladdin Musical Production’ itu telah diadakan di Sekolah Sri KDU pada 23 November lalu dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM38,505.
Dana yang diraih akan digunakan bagi membeli barangan keperluan dan kegunaan kedua-dua badan kebajikan itu, selaras dengan misi sekolah untuk memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan para pelajarnya.
Persembahan muzikal yang memukau itu disertai oleh 383 pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Mereka telah memainkan pelbagai peranan termasuk sebagai pelakon, penari, ahli koir dan pembantu di belakang tabir seperti kru pentas, pengurus props, selain pasukan yang menguruskan segala keperluan termasuk makanan serta minuman.
Berlatarbelakangkan keindahan kota Agrabah, pementasan muzikal itu mengisahkan seorang legenda bergelar Aladdin, iaitu pemuda yang gagah, berani dan pintar.
Aladdin telah berjaya memenangi hati Puteri Jasmine dan menggagalkan rancangan ahli sihir Jafrrina.
Selain kostum berwarna-warni, dekorasi pentas mempesonakan dan watak Genie yang mencuit hati serta barisan pelakon yang lain telah berjaya menghidupkan pementasan itu dengan penuh bertenaga.
Selain unsur kasih sayang, persahabatan dan kepercayaan antara satu sama lain, pementasan bertemakan magis, romantik dan pengembaraan itu telah berjaya menghiburkan hati para hadirin.
Muzikal itu juga menampilkan persembahan daripada Sri KDU String Orchestra yang terdiri daripada 37 ahli. Mereka baru-baru ini telah memenangi anugerah dan mendapat pengiktirafan antarabangsa di sebuah pertandingan di Hong Kong.
Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Sri KDU, Shamsiah Anverdeen berkata, pementasan itu merupakan sesuatu yang cukup istimewa.

“Apa yang menjadikan pementasan ini istimewa adalah bagaimana ia menggabungkan pelbagai aspek pembelajaran seperti kreativiti, tanggungjawab dan sifat belas kasihan, serta meningkatkan kualiti pementasan muzikal tempatan.
“Setiap pelajar berjaya memainkan peranan mereka, tidak kira di atas pentas atau di belakang tabir.
“Dedikasi mereka benar-benar menghidupkan cerita ini dalam persembahan yang penuh bermakna. Mereka berjaya menjadikan cerita ini milik sendiri,” ujarnya.
Salah seorang pelajar, Rayshen Venkatachalam yang memainkan watak Genie dalam muzikal itu berkata, pengalaman tersebut telah memberi impak positif terhadapnya.
“Beraksi di atas pentas adalah pengalaman yang luar biasa bagi saya.
“Ia berjaya meningkatkan keyakinan saya, selain membantu saya mengatasi rasa gugup ketika berada di atas pentas.
“Saya juga tidak menyangka boleh menyanyi, kerana saya melihat diri hanya sebagai seorang penari.
“Saya gembira menyertai persembahan ini kerana saya berjaya memperoleh pengalaman dan kemahiran baharu.
“Memang agak sukar untuk mengimbangi sesi latihan dan pelajaran, tetapi ia mengajar saya untuk lebih berdisiplin serta memperbaiki pengurusan masa saya,” ujarnya.














