MELAKA – Pengasuh arwah Harraz Noah Nazrul Nizam yang maut selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan mukanya tertutup selimut turut mengakui berdepan trauma biarpun kejadian itu berlaku pada 9 Disember lalu.
Nur, 27, berkata, dia dihantui perasaan bersalah dan insiden yang menimpa bayi berusia enam bulan itu menjadi tamparan dan peringatan buat dirinya untuk tidak lagi bergelar pengasuh.
“Dalam keadaan sekarang memang Nur trauma, tidak mahu menjadi pengasuh lagi sama ada jaga bayi atau kanak-kanak yang sudah besar.
“Mungkin ambil masa yang agak lama untuk mencari pekerjaan lain, tetapi memang bukan lagi seorang pengasuh sebab perasaan serba salah itu tidak akan hilang.
“Selimut (sewaktu kejadian) itu saya akan simpan tidak akan buang, hanya simpan,” katanya sebak.
Biarpun sudah hampir seminggu kejadian berlalu, namun emosinya masih lagi terganggu. Nur memaklumkan, ketika ini dia hanya mahu memberi tumpuan buat dua anak kembarnya yang berusia empat tahun.
“Selepas kejadian itu, ibu Harraz (Ainol Izzah Raslan) ada menghantar kiriman WhatsApps bertanyakan khabar dan mengingatkan saya untuk makan. Itulah penguat saya.
“Saya tidak pernah berhenti meminta maaf kepada ibu Harraz. Dia cakap dia maafkan saya kerana dia tahu bagaimana saya menjaga bayinya dan minta supaya saya abaikan cakap (negatif) orang luar.
“Keluarga Harraz semuanya masih baik dengan saya,” kata wanita itu.
Tambah Nur, meskipun diberikan ujian berat, dia bersyukur kerana Ainol dan suaminya Nazrul Nizam Mohd. Tahar, 29, tidak terus menyalahkannya, sebaliknya bersama-sama memberikan sokongan emosi.
“Mereka lebih kuat daripada saya. Kalau kejadian ini berlaku kepada anak saya, saya sendiri pun tidak tahu sama ada boleh hadapi dan reda seperti ibu dan bapa Harraz,” ujarnya.














