fbpx
PENGACARA yang juga ikon fesyen, Awal Ashaari menyelar tindakan individu yang mengenakan yuran keahlian menerusi gerakan fesyen dan komuniti ‘Old Money’.

‘Gerakan Old Money di Malaysia lebih kepada duit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIGELAR ikon fesyen, Awal Ashaari meluahkan kebimbangannya apabila gerakan fesyen dan komuniti ‘Old Money’ yang menjadi trend sekarang ini disalah erti oleh orang ramai.

Malah, yang lebih menggusarkan Awal adalah gerakan Old Money Malaysia yang dipelopori pempengaruh media sosial, Andika Putera mengenakan yuran keahlian kepada pengikutnya.

“Banyak pihak yang memerhati kerana kita tidak sewenang-wenangnya boleh mengambil dana awam, perlu ada laporan ke mana duit itu disalurkan.

“Bagi saya perkara ini perlu dikaji terlebih dahulu sebelum tubuhkan komuniti dan mengambil yuran keahlian. Melainkan ahli mendapat manfaat, contohnya, diadakan kelas komunikasi dan pelbagai seminar lain, itu munasabah.

AWAL dan isteri, Scha Alyahya merupakan antara pasangan selebriti yang sering menjadi rujukan berkaitan fesyen.

‘Old Money’

“Tetapi hanya mengutip yuran tanpa manfaat, itu tidak boleh. Jangan ambil kesempatan di atas kesempitan orang lain. Adakalanya, anak-anak muda hanya mahu mengikut trend dan diterima komuniti, jadi mereka sanggup bayar tanpa fikir panjang,” ujar Awal.

Dalam pada itu, Awal atau nama sebenarnya, Ahmad Awaluddin Ashaari, 43, yang sering menjadi pilihan jenama terkenal antarabangsa menegaskan fesyen adalah untuk diraikan semua pihak.

Justeru, apabila wujud gerakan atau komuniti fesyen, perkara itu seolah-olah memecah-belahkan golongan peminat fesyen.

“Jangan politikkan fesyen! Disebabkan trend ‘Old Money’ sedang hangat sekarang ini, jika tidak masuk geng tersebut dikira ketinggalan. Bagi saya perkara itu bersifat negatif,” kata Awal.

AWAL menasihatkan orang ramai agar jangan mudah ‘tertipu’ dengan gerakan ‘Old Money’.

Salah erti

Tambah suami kepada pelakon Scha Alyahya itu, ‘Old Money’ sememangnya menjadi trend di seluruh dunia dan konsep sebenar trend berkenaan adalah tidak berlebih-lebihan dalam fesyen, (less is more).

“Sebenarnya trend ‘Old Money’ adalah berkisar tentang pakaian sederhana yang kemas tanpa perlu menonjolkan jenama atau logo. Maknanya pakaian itu memang kelihatan mahal tanpa anda tahu atau tunjuk jenamanya,” ujar Awal.

Sungguhpun begitu, apa yang mengecewakan Awal adalah trend tersebut telah disalah ertikan oleh masyarakat Malaysia dan mengaitkannya dengan kewangan berbanding fesyen.

“Gerakan di Malaysia saya lihat lebih kepada duit. Apa yang kita tahu ‘Old Money’ adalah istilah kepada mereka yang dilahirkan daripada keturunan yang kaya raya.

“Sementara, ‘New Money’ pula mereka yang kaya secara tiba-tiba, jadi telah disalahertikan. Saya tidak salahkan sesiapa mungkin individu yang membuat gerakan ini memang mahu dikenali dengan kewangan,” tutur Awal.

Sebagai peminat fesyen, Awal melihat gerakan sebegini daripada sudut positif apabila lebih ramai anak muda mula memakai pakaian yang kemas.

“Saya tidaklah menolak seratus peratus, kerana saya suka melihat pengikut gerakan ini memakai pakaian yang kemas dan cantik. Sekurang-kurangnya fesyen yang sebelum ini terlihat ‘mahal’ dan ‘mewah’ turut digayakan oleh orang awam. Tidak perlu pakaian yang mahal cukup sekadar kemas dan sesuai dengan bentuk badan,” kata Awal yang ditemui pada majlis pelancaran program Innovathon musim kedua baru-baru ini.

Awal bergandingan dengan Amelia Henderson dalam program baharu, Innovathon.
– Foto FAIZ ALIF
AHMAD ZUBIR

Innovathon

Berbicara tentang perkembangan karier seninya, Awal kembali sebagai pengacara program realiti inovasi iaitu Innovathon musim kedua bersama Amelia Henderson.

Jelas Awal, meskipun Innovathon bukanlah sebuah program hiburan, malah turut melibatkan dua menteri kabinet iaitu Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli dan juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, program berkenaan tetap menghiburkan.

“Memang agak berbeza kerana tiada persembahan nyanyian atau selingan hiburan dan lawak, tetapi apabila kita meletakkan peserta yang tidak pernah muncul di televisyen seperti graduan universiti dan profesor, pelbagai kejadian spontan berlaku.

“Dalam tempoh lima minit mereka harus memukau juri, jadi dalam tertekan banyak perkara di luar jangkauan terjadi dan inilah tarikan program ini. Penonton juga boleh melihat menteri dari sisi yang berbeza. Rupanya dalam serius mereka semua ada sisi yang santai dan kelakar,” beritahu Awal.

Buat pertama kali mengacarakan program bersama Amelia, kata Awal banyak perkara yang dipelajari terutama mengacara program secara spontan.

“Mudah bekerja dengan Amelia, walaupun sangat berbeza dengan saya. Mungkin ini cara Gen Z bekerja, mereka tidak mempunyai sebarang perancangan dan begitu jujur apabila di atas pentas (ketawa).

“Saya telah terbiasa merancang A– Z, jadi ini satu pengalaman yang baharu dan saya perlu mengubah cara kerja untuk mengikut arus. Amelia ceria dan spontan, tetapi itulah yang menghidupkan lagi program ini,” luah Awal.

Program Innovathon musim kedua bersiaran setiap Sabtu di saluran Astro Ria (saluran 104) dan RTM saluran TV1 bermula 30 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN