PELAKON dan bekas peragawati terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson mengejutkan orang ramai apabila mendedahkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga selepas memuat naik foto mata lebam di media sosial.
Ramai pihak termasuk rakan selebriti, pengikut dan pengguna media sosial memuji tindakan wanita berusia 39 tahun itu yang bertindak keluar daripada mimpi ngeri yang dialaminya.
Nampaknya Zahnita seperti tidak menoleh ke belakang apabila memadam semua foto lama di Instagram dan menjual pai bagi memulakan hidup baharu.
Seorang kenalan penulis pernah dipukul suami dan kejadian tersebut disaksikan anaknya yang masih kecil. Kesannya, kanak-kanak itu cuba melakukan perkara sama kepada rakannya di taska.
Sebagai ibu, dia nekad berpisah kerana tidak mahu diri dan anak-anak berada dalam perhubungan tidak sihat.
Ini jelas menunjukkan keganasan rumah tangga tidak hanya memberi kesan kepada mangsa, bahkan anak-anak.
Hakikatnya masih ramai wanita yang sanggup ‘makan penumbuk’ suami. Ada isteri yang sanggup menjadi punching bag atas pelbagai alasan antaranya mencintai suami, bimbang anak tidak mendapat kasih sayang bapa dan bergantung dengan pendapatan pasangan.
Malah, ada yang tidak mahu melaporkan kejadian itu kerana mahu menjaga aib dan taat kepada pasangan.
Seperti dinyatakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mangsa sering memilih untuk tidak melaporkan kekerasan yang dialami kerana takut pelaku dan tekanan sosial daripada keluarga atau rakan.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari dilaporkan berkata, salah faham konsep taat dikenal pasti antara punca sebahagian wanita yang menjadi mangsa tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Malah, katanya, konsep tersebut dimanipulasi segelintir lelaki agar isteri merelakan keganasan berlaku termasuk buli mental.
Kes keganasan rumah tangga acapkali dibangkitkan dalam Dewan Rakyat dan Sidang Dewan Undangan Negeri. Ini menunjukkan ia bukan isu remeh. Kes keganasan rumah tangga turut diperuntukkan di bawah undang-undang yang tegas. Jadi mereka teraniaya usah takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
Menurut Peguam Syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid, sekiranya isteri masih bertahan dalam perkahwinan toksik, ia menyukarkan tindakan dibuat ke atas pasangan mereka.
“Anda sendiri kasihan dan tidak mahu meneruskan kes atas alasan masih suami isteri.
“Suami yang suka pukul dan aniaya isteri secara fizikal dan mental bukanlah suami yang baik. Anak memerlukan contoh dan teladan yang baik.
“Jika biarkan suami berterusan menunjukkan contoh tidak baik dan isteri membenarkannya, kitaran itu akan diteruskan kepada anak,” katanya.
Tegasnya, anak-anak mungkin akan menganggap perkara itu normal dan tidak mustahil akan melakukan perkara sama terhadap orang terdekat mereka.














