fbpx
SAIFUDDIN menegaskan pihak berkuasa Malaysia dan Thailand saling bertukar maklumat senarai individu disyaki memiliki kad pengenalan kedua-dua negara.

‘Memang ada individu dua kad pengenalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pihak berkuasa Malaysia dan Thailand saling bertukar maklumat senarai individu yang disyaki memiliki kad pengenalan kedua-dua negara untuk disemak kesahihan kerakyatan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, senarai nama individu yang dihantar oleh pihak Thailand itu akan disemak melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran ­Negara (JPN).

“Ada atau tidak insiden dua kewarganegaraan dengan dua pemilikan identiti kad daripada kedua-dua negara? Jawapannya ada, memang ada. Cuma jumlah sebenar kita kena ‘establish’ (sahkan).

“Kita ada hubungan baik dengan Thailand dalam pelbagai peringkat, antaranya G2G (kerajaan dengan kerajaan), polis dengan polis, ‘people to people’ serta pelbagai kuasa bersama.

“Misalnya kita ada senarai dikehendaki yang berlindung di Thailand, manakala Thailand pun ada senarai dikehendaki berlindung di negara kita. Jadi mereka serahkan senarai dan kita pun (serah senarai),” katanya pada sesi temu bual bersama Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, senarai nama tersebut kemudiannya akan dicari dan dikesan bagi mengenal pasti identiti mereka sebelum disahkan untuk diambil tindakan seterusnya.

Kosmo! pada 15 November lalu me­laporkan kebanyakan ahli sindiket pengedaran dadah mempunyai dua kad pengenalan atau dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Thailand bagi memudahkan melarikan diri apabila diburu pihak berkuasa kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, langkah sama turut diambil sekiranya terdapat individu memiliki dua identiti dari kedua-dua negara serta tinggal di sekitar Kelantan terutama di kawasan sempadan antaranya Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

“Angka ini mesti kita ‘establish’ dulu. Apa kita buat ialah hubungi Thailand, serahkan se­narai untuk dirujuk dalam pangkalan data JPN. Kalau ada, kita sahkan dan kalau tiada, kita ‘eliminate’ (hapuskan) maknanya ‘clear’ (jelas) lah.

“Kalau pun dia kata ada identiti dia, tapi bila kita semak (di JPN) tidak ada. Maka kekal ­dengan satu (kewarganegaraan),” ujarnya.

Saifuddin berkata, kesemua pertimbangan diambil oleh kerajaan bukan sahaja untuk menyelesaikan urusan rakyat di kedua-dua negara, malah ia melibatkan aspek ­keselamatan.

Katanya, beliau menyedari keluhan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di negara ini susulan tindakan pihak berkuasa memperketatkan kawalan di sempadan ­termasuk ‘jalan tikus’ dan pangkalan haram.

“Secara lahiriah perkara ini sudah berlaku kerana hubungan fizikal hanya dipisahkan dengan sungai yang sempit (Sungai Golok), hubungan kekeluargaan dan ada rakyat dia bersekolah di sini.

“Yang bersekolah di sini tentulah dokumen pengenalan itu di sini, kalau tidak mereka kena membayar kos yang tinggi untuk warga asing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN