SETIU – Seorang nelayan yang tidak dapat turun ke laut menjadikan ikan sungai sebagai sumber pendapatan sementaranya sepanjang musim tengkujuh ini.
Che Mohd. Rohaiza Che Mat, 50, berkata, setiap hari dia mampu menjual hampir 120 kilogram ikan sungai dengan pendapatan lebih RM1,000 sehari sejak minggu lalu.
“Menjual ikan darat ini ikhtiar saya untuk mencari pendapatan menyara keluarga ekoran tidak dapat turun ke laut selama lima bulan setiap musim tengkujuh.
“Pekerjaan ini sudah saya lakukan bersama isteri, Marina Samad, 46, setiap kali tempoh Monsun Timur Laut sejak 15 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Nyatuh di sini semalam.
Che Mohd. Rohaiza berkata, ikan sungai bukan sahaja mudah ditangkap malah permintaannya juga tinggi pada musim banjir ini.
Dia berkata, antara ikan sungai yang dijualnya ikan patin keli, haruan, puyu, baung, patin dan sebarau.














