fbpx
SEBAIK tiba di rumah tinggal berkenaan untuk melakukan aktiviti paranormal, Daniel terlihat kelibat satu lembaga hitam sedang berdiri di atas tangga. – ILUSTRASI SHAH HASSAN

Pemuda disakat penunggu ketika aktiviti paranormal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI mengisi masa terluang, seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Daniel sering menonton cerita-cerita seram.

Selain itu, dia gemar menonton kandungan berkaitan paranormal atau ‘pemburu hantu’ di platform media sosial.

“Saya memang menggemari cerita-cerita seram dan aktiviti berkaitan paranormal ini.

“Saya terpengaruh dengan aktiviti ini sehingga timbul keinginan dalam diri untuk menjadi pemburu paranormal,” katanya.

Akhirnya, Daniel mengambil keputusan untuk berbuat demikian bagi membuktikan bahawa hantu itu memang wujud.

Malah, dia memilih untuk melakukan aktiviti tersebut secara bersendirian.

Daniel menjelaskan, dia memilih untuk memburu paranormal di sebuah rumah pusaka yang terletak tidak jauh dari kampungnya.

Ramai bercerita rumah pusaka itu ‘berpenunggu’ dan ada yang pernah melihat ada lembaga berdiri di atas tangga di hadapan kediaman berkenaan.

“Rumah pusaka itu telah lama ditinggalkan dan terletak jauh dari rumah orang lain. Pintu rumah itu juga sudah tidak berkunci lagi.

“Pada sebelah petang, saya pergi ke rumah itu dahulu untuk meninjau kawasan sekitar sebelum memilih untuk melakukan aktiviti paranormal pada lewat malam,” jelas Daniel.

Pada sebelah malam, dia memberanikan diri melakukan aktiviti paranormal tersebut berseorangan.

Dia memilih untuk melakukan aktiviti itu pada pukul 12 tengah malam.

Daniel menjelaskan, ketika menuju ke rumah tersebut, dia melihat seperti ada lembaga hitam yang berdiri di hadapan tangga di rumah berkenaan.

“Saya pergi ke rumah itu dengan motosikal. Dari jauh dan dengan penglihatan samar, saya melihat ada seperti lembaga berdiri di atas tangga rumah tersebut.

“Namun apabila saya tiba, saya lihat tiada apa-apa di situ, sebelum mengambil keputusan untuk masuk ke dalam rumah tersebut,” jelasnya.

Daniel menjelaskan, sebelum masuk ke dalam rumah tersebut, dia dapat merasakan seperti ada mata yang melihatnya dan tiupan angin malam membuatnya berasa sejuk pada waktu itu.

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam rumah tersebut, Daniel terdengar seperti ada orang berlari di dalam kediaman kayu itu.

Bunyi itu jelas didengarinya memandangkan lantai rumah tersebut diperbuat daripada papan.

“Ketika saya meninjau di setiap penjuru rumah dengan ditemani cahaya lampu suluh, saya mendengar seperti ada orang ketawa.

“Selain itu, saya merasa seperti ada individu lain di belakang saya dan telinga saya seperti dihembus,” jelas Daniel.

Bunyi gangguan di dalam rumah itu semakin jelas dirasai oleh Daniel. Bunyi orang ketawa dan menangis semakin kuat didengari olehnya.

Daniel kemudian mengambil keputusan untuk masuk di dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut.

Dia kemudian berdiri di hadapan cermin yang ada di dalam bilik tersebut.

“Saya menyuluh cermin tersebut dengan lampu bagi melihat apa yang ada di belakang saya.

“Saya terkejut apabila melihat ada lembaga hitam bermata merah dengan wajahnya amat menakutkan berada betul-betul di belakang saya,” katanya.

Daniel berasa lututnya seperti lembut setelah melihat kelibat lembaga itu. Namun, dia tetap kuatkan diri untuk lari keluar dari bilik tersebut.

Mulutnya tidak lepas membaca ayat kursi, sebelum berlari keluar dari rumah tersebut selepas melihat kelibat lembaga menyeramkan itu.

Setelah keluar dari rumah tersebut, Daniel terus menaiki motosikalnya untuk meninggalkan kawasan rumah lama berkenaan.

“Ketika saya ingin memecut motosikal, saya berasa amat ‘berat’ seperti ada orang menumpang di tempat duduk belakang.

“Saya tidak berani untuk toleh ke belakang, namun saya tetap gagahkan diri untuk meninggalkan rumah itu.

“Di atas motosikal, saya membaca segala ayat-ayat al-Quran yang dihafal, kemudian motosikal saya tiba-tiba kembali ‘ringan’ seperti sedia kala,” ujarnya.

Selepas peristiwa itu, Daniel tidak lagi berani untuk melakukan aktiviti paranormal.

“Biarlah orang lain saja yang melakukan aktiviti paranormal. Orang lemah semangat macam saya tidak patut buat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN