fbpx
Gambar hiasan

Cukup-cukuplah bagi muka kepada si perokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sikap keras kepala segelintir perokok tegar yang enggan menerima teguran arahan larangan me­rokok di dalam premis membuatkan ramai pengusaha premis makanan hilang sabar.

Disebabkan kedegilan pe­rokok, rata-rata pengusaha mendakwa mereka berdepan satu lagi situasi mencabar menghadap kehadiran pelanggan ‘istimewa’ selain isu kenaikan harga barang keperluan.

Para pengusaha mendedahkan mereka terpaksa menahan telinga apabila diajak berdebat dengan perokok, malah situasi tersebut jika dibiarkan dikatakan boleh mencetuskan ke­tegangan yang mungkin berakhir dengan pergaduhan besar.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow mengakui masih ramai perokok yang masih berkeras untuk tidak mematuhi arahan larangan me­rokok yang dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu.

Menurutnya, hasil tinjauan CAP di beberapa premis di George Town turut mendapati perokok tegar bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah warga asing.

“Hasil pemerhatian kami di gerai-gerai makan termasuk ‘port’ berkumpul warga tempatan dan asing, mereka seolah-olah tidak takut dengan tindakan yang bakal dikenakan. Mereka tidak hirau dengan teguran, malah selamba menghisap rokok dan menghembus asap termasuk dalam premis.

“Ada pekedai mengakui mereka takut berdepan de­ngan perokok kerana bimbang di­serang atau barangan dalam premis dirosakkan.

“Walaupun ada pelekat la­rangan merokok, usaha itu tidak berhasil, malah ada yang membuang puntung rokok di laluan masuk premis,” katanya.

Subbarow membe­ritahu, pihaknya memandang serius situasi melibatkan perokok tegar, malah sudah berkali-kali memberi penerangan mengenai implikasi terhadap diri dan masyarakat.

“Sukarkah perokok hendak terima teguran? Nanti yang dikenakan tindakan adalah pengusaha premis bukannya si perokok.

“Jadi CAP menyeru pihak berkuasa supaya menjalankan operasi penguatkuasaan pada setiap masa, bukannya secara berkala. Jangan bagi muka dan maafkan perokok,” katanya.

Jelas beliau, CAP yakin tindakan yang lebih serius dan secara berte­rusan akan memberi kesan positif dalam usaha kerajaan menguatkuasakan Akta 852 yang merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan merokok di tempat awam.

Baru-baru ini, Kosmo! me­laporkan pengusaha premis makanan di Pulau Pinang pe­ning kepala memikirkan sikap degil dan keras kepala sesete­ngah pe­langgan yang tidak mengendahkan teguran larangan merokok di dalam premis.

Ternyata, situasi tersebut masih berlaku meski­pun pe­ngusaha restoran telah menampal pelekat larangan me­rokok di setiap penjuru premis sejak penguatkuasaannya dilaksanakan 1 Oktober lalu.

Bagi penulis, perbuatan si perokok tegar itu sememang­nya akan menyusahkan bukan sahaja pelanggan lain tetapi pe­ngusaha premis makanan yang bakal berdepan dengan tindakan oleh pihak berkuasa.

Menghormati dan menerima teguran oleh para peniaga itu lebih baik daripada menunjukkan sikap ego yang sememangnya sedikitpun tidak memberi sebarang keuntungan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN