PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada tidak akan ‘terlepas’ daripada hukuman jika didapati bersalah.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram mengakui pihaknya memandang serius insiden perbalahan antara Arif Aiman dan Tommy pada aksi tertunda Liga Super melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, kedua-dua pemain tersebut boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
“Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.
“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
“Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu,” kata Sivasundaram.
Mengulas lanjut, Sivasundaram turut menasihatkan agar pemain mengawal emosi ketika di atas padang kerana apa juga tindakan mereka hanya akan mendatangkan masalah jika dikenakan tindakan susulan nanti.
Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, Arif Aiman dikatakan bernasib baik apabila terlepas layangan kad merah selepas didakwa menumbuk Tommy pada insiden minit ke-83.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali hanya melayangkan kad kuning kepada Arif Aiman sekali gus dikritik hebat oleh peminat sukan tanah air di laman sosial semalam. – KOSMO! ONLINE














