BATU PAHAT – Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut manakala empat lagi cedera semasa berkonvoi di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian yang berlaku pukul 10.15 pagi itu melibatkan tiga motosikal kuasa tinggi dan sebuah kereta.
Katanya, kejadian berlaku semasa tiga buah motosikal bersama-sama beberapa buah motosikal berkuasa tinggi yang lain sedang dalam perjalanan dari Segamat menghala ke arah Kluang.
“Apabila sampai di tempat kejadian berlaku kemalangan antara motosikal ditunggang A Razak Jufrin, 64, dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang cedera parah di bahagian leher dan organ dalaman badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini.
Menurut Shahrulanuar Mushaddat lagi, dua lagi motosikal yang berada di belakang terbabas selepas melanggar serpihan kemalangan menyebabkan penunggang dan pemboncengnya turut mengalami kecederaan.
“Manakala pemandu kereta berkenaan pula cedera ringan di beberapa bahagian badan dan semua mangsa terlibat dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan rawatan,” katanya.- KOSMO! ONLINE