MADRID – Tonggak pertahanan Real Madrid, Eder Militao enggan mengibar bendera putih selepas disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sekali gus terlepas baki saingan musim ini.
Militao mengalami kecederaan serius itu ketika beraksi bersama Real dalam kemenangan 4-0 ke atas Osasuna dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu kelmarin.
“Ini satu lagi cabaran yang saya perlu hadapi. Saya tahu bagaimana untuk kembali pulih dan menyerah kalah tiada dalam kamus hidup saya. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan,” katanya.
Bek tengah berpengaruh Brazil itu memerlukan sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk kembali turun padang buat Real.
Sebagai rekod, Militao menjadi pemain kedua Real terpaksa diketepikan selama semusim disebabkan kecederaan ACL yang turut menimpa seorang lagi tonggak pertahanannya, Dani Carvajal.
Bagaimanapun, Real dilihat sudah menemui pengganti kepada Militao apabila penggantinya, Raul Asencio, 21, berjaya mencipta dua bantuan jaringan dalam kemenangan 4-0 ke atas Osasuna kelmarin.
Menariknya, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu dilihat kembali menemui rentak terbaik apabila bintangnya, Vinicius Junior berjaya meledak hatrik selain satu lagi gol dijaringkan oleh Jude Bellingham dalam aksi tersebut.
Malangnya, pemain sensasi dunia, Kylian Mbappe sekali lagi gagal menemui jaringan dan hanya mampu meledak satu gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya. – AGENSI














