fbpx
Peugeot 408 mempunyai dimensi 4,687 milimeter (mm) panjang dan 1,487mm tinggi.

Peugeot 408 sporty, futuristik gaya Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEUGEOT 408 bukan hanya menyerlah dari segi rekaannya yang unik tetapi juga menawarkan prestasi pemanduan terbaik.

Sekali pandang, ia seakan sedan tetapi ‘berubah’ menjadi crossover dari belakang, mungkin model ini boleh digelar fastback dengan gaya futuristik.

Apabila meluncur di jalan raya, kehadirannya pasti mendapat ‘jelingan’, malah orang akan tertanya-tanya apakah model kereta itu sesuai untuk mereka yang bercita rasa berbeza.

Stellantis Malaysia telah melancarkan Peugeot 408 ke pasaran tempatan pada hujung bulan April lalu dan menjadi model pertama diperkenalkan selepas mengambil alih semula jenama tersebut.

Model tersebut menandakan satu era baharu dalam usaha menjadikan Peugeot kembali sebagai jenama pilihan dengan menggabungkan tiga nilai utama iaitu Memikat (Allure), Emosi (Emotion) dan Kecemerlangan (Excellence).

Peugeot 408 ditawarkan dengan tiga pilihan varian iaitu Allure pada harga RM146,055, Premium (RM166,055) dan GT (RM196,055).

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji Peugeot 408 GT selama lima hari yang sekali gus telah mengubah persepsi penulis terhadap jenama automatif dari Perancis itu yang sinonim dengan lambang singa.

Tidak hairanlah, Peugeot mempunyai peminat tersendiri memandangkan kenderaan itu hadir dengan ciri premium serta tahap keselesaan sebaris kereta mewah dari Eropah.

Menariknya, ciri sporty dan futuristik pada Peugeot 408 itu digabungkan dengan rekaan telinga kucing (cat ears) untuk menghasilkan gaya aerodinamik yang optimum pada lid spoiler.

Rekaan belakangnya pada bahagian lid spoiler berbentuk telinga kucing.

Rekaan bahagian depan mempamerkan lencana terkini Peugeot yang diletakkan di bahagian tengah bersama jeriji tanpa bingkai seakan berlian yang diwarnakan dengan warna badan.

Manakala, varian GT menerima sistem pencahayaan Matrix LED dengan suluhan lampu tinggi di hadapan, manakala rekaan lampu belakangnya 3D ‘Claw Effect’ seperti tiga kuku yang mencakar.

Ia diperkemas dengan perincian rim Monolithe Black bersaiz 20 inci yang eksklusif bagi varian GT.

Dari segi dimensi, Peugeot 408 yang dibina berasaskan platform EMP2 (Efficient Modular Platform) multitenaga memiliki dimensi 4,687 milimeter (mm) panjang, 1,859mm lebar dan 1,487mm tinggi.

Sebaik penulis menekan enjin Peugeot 408, jentera itu meluncur dengan prestasi mengagumkan bagai ‘singa’ terutama apabila mod ‘sport’ diaktifkan, manakala mod normal dan eco untuk pemanduan biasa yang lebih tenang.

Pengalaman pemanduan Peugeot 408 yang mengujakan tersebut datang daripada enjin PureTech Turbo 1.6 liter baharu yang canggih.

Enjin berkenaan mampu menjana kuasa sehingga 218hp (160kW) pada 5,750rpm dan tork 300Nm pada 2,000rpm yang dipadankan dengan transmisi automatik EAT8 8-kelajuan pintar.

Peugeot 408 serba baharu mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa hanya 8.8 saat dengan memberi peluang kepada pemandu untuk menikmati prestasi yang luar biasa.

Hantaran tenaganya lebih senyap dan kurang gegaran, walaupun ketika pedal pendikit ditekan apabila penulis memandu pada kelajuan melebihi 140km/j di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas).

Meninjau ruangan kabin, penulis merasakan kerusi yang dibalut dengan material kulit Nappa premium pada varian GT amat selesa selain terdapat fungsi urutan pada bahagian pemandu dan penumpang hadapan yang boleh dipilih.

Pada konsol tengah terdapat slot khas pengecasan telefon pintar tanpa wayar dengan tombol kawalan gear yang agak kecil.

Malah, kerusi pemandu jenis ergonomik akan bergerak ke belakang secara automatik bagi memudahkan pemandu keluar apabila enjin dimatikan.

Varian GT dilengkapi dengan paparan digital i-Cockpit bersaiz 10 inci serta skrin sentuh untuk infotainment serta ciri i-Toggles yang membolehkan pengguna mengakses lebih mudah kepada fungsi kawalan suhu, radio dan navigasi.

Bagi penulis, Peugeot 408 GT yang dipasang dengan 10 pembesar suara jenama Focal mengujakan apabila lagu dipasang seperti berada dalam studio dengan sistem bunyi yang sangat sedap didengar.

Kapasiti ruang bonet belakangnya pula ialah 536 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,583 liter apabila kerusi belakang direbahkan.

Pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan telefon pintar tanpa wayar dan dua soket USB jenis type C dengan tombol kawalan gear yang agak kecil bagi memberi ruang luas di kabin.

Dengan prestasi mendahului kelasnya yang digabungkan dengan sebuah fastback yang dinamik, Peugeot 408 serba baharu berada dalam segmen tersendiri dan pasti memberi pengalaman pemanduan luar biasa kepada pemiliknya.

Peugeot 408 serba baharu hadir dalam empat pilihan warna menarik iaitu hitam (Perla Nera Black), putih (Okenite White), kelabu (Artense Grey) dan biru (Obsession Blue).

Bagi aspek keselamatan, varian GT dilengkapi enam beg udara, sensor bantuan parkir, teknologi pengecaman papan tanda jalan, ciri pembrekan kecemasan, amaran perlanggaran, trafik lintasan belakang dan lain-lain.

Varian GT dipasang kamera 360 darjah yang memberi keyakinan kepada pemandu untuk melihat persekitaran, manakala dua varian lain dipasang kamera 180 darjah.

Kesimpulannya, model Peugeot 408 ini bukan sekadar hadir dengan rupa futuristik bagi sebuah kereta enjin pembakaran dalaman (ICE). Sebaliknya, ia boleh memberi pilihan kepada peminat rekaan kereta EV tetapi masih selesa dengan pemanduan kereta enjin.

Model ini boleh membuatkan pemandunya kelihatan lebih menonjol dengan cita rasa Eropah berbanding kereta sedan jenama lain di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN