REMBAU – Rata-rata peniaga santan kini tersepit dengan harga jualan santan yang boleh mencecah RM20 bagi sekilogram (kg) sekiranya tiada penyelesaian segera diambil oleh kerajaan.
Salah seorang peniaga, Salmah Ahmad, 63, berkata, sebelum memo yang dikeluarkan oleh pembekal pada 28 Oktober itu, harga sebakul bagi kelapa seberat 50 kg adalah sekitar RM80.50 berbanding harga terkini naik kepada RM120.
Ujarnya, kenaikan hampir RM40 itu bukan hanya mengejutkan dirinya tetapi pelanggan yang kini terpaksa membayar RM13 bagi sekilogram santan yang dijual di kedainya.
“Bekalan saya dapat 100kg kelapa hanya boleh hasilkan 20kg santan sahaja sehari tidak cukup untuk keperluan lebih ramai,” jelasnya.
Seorang lagi pengusaha santan, Mohd Syahadat Said, 36, berkata, dia sudah mula berniaga santan sejak empat tahun lalu dengan permulaan harga bagi sebiji kelapa adalah RM1.50.
Bagaimanapun menurutnya, harga kelapa dijangka mampu melonjak naik kepada RM4 sebiji memandangkan pengusaha negara jiran mampu menawarkan harga tersebut menyebabkan jualan kelapa banyak diimport ke sana.
“Dalam satu kg santan perlukan empat biji kelapa. Nak tak nak kita bimbang harga santan mencecah RM20 sekilogram nanti jika semua kelapa dieksport terus ke negara jiran.
“Kita harap kerajaan buat sesuatu kerana sekarang ini pun kita sudah rasa tersepit dengan kenaikkan harga sebanyak empat kali ini,” katanya.















