KOTA BHARU – Penagih-penagih pil kuda atau yaba sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan duit untuk membeli ‘pil gila’ itu bagi melepaskan gian termasuk mencuri motosikal, kebas duit ibu dan pecah masuk rumah.
Biarpun sudah berkali-kali ditangkap polis, kegilaan terhadap pil kuda masih belum dapat diubati, malah ada penagih yang mengaku mereka menelan dadah itu sehingga 10 biji sehari bagi mencapai kepuasan maksimum.
Seorang bekas penagih pil kuda yang mahu dikenali Haikal, 29, berkata, dia mula mengambil dadah jenis itu ketika berusia 20 tahun lagi kerana terpengaruh dengan kawan-kawan dan mahu mencari keseronokan.
Katanya, ketagihan terhadap pil kuda semakin hari semakin teruk dan sukar dikawal sehingga dia sanggup mencuri duit ibunya semata-mata mahu mendapatkan bekalan.
“Telan pil kuda ini umpama beri tenaga luar biasa, jadi kuat, dua hari tak tidur dan seronok ketika lalok itu menyebabkan saya nak telan lagi.
“Saya telan pil kuda 10 biji sehari. Sehari saya perlukan RM100 untuk beli dadah ini, jadi sebulan lebih kurang RM3,000. Saya seorang penganggur, jadi kalau tiada duit, saya curi duit ibu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Haikal memberitahu, dia sudah lima kali ditangkap polis dan keluar masuk penjara selama lima kali atas kesalahan dadah.
Katanya, setiap kali keluar penjara, dia nekad untuk berubah, tetapi tetap terjebak lagi.
“Kali ini saya benar-benar mahu berubah kerana usia semakin meningkat dan sudah terlalu lama sia-siakan masa muda saya.
“Sudah dua bulan saya hidup dalam masyarakat, ramai yang menerima saya kembali. Saya cuba elak untuk bertembung rakan-rakan lama yang juga penagih kerana tidak mahu terjebak lagi,” katanya.
Seorang lagi bekas penagih dikenali Azrie, 40, memberitahu, dia bercerai dengan isteri selepas ditangkap kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Katanya, dia menagih pil kuda sejak berusia 15 tahun selepas dipelawa rakan-rakan sekolah.
“Saya sebelum ini penghidu gam dan beralih kepada menghisap pil kuda. Sejak itu, saya mula ketagih daripada sebiji kepada dua biji sehari,” ujarnya.
Azrie memberitahu, ketagihan pil kuda menyebabkan pelajarannya terjejas, ditambah pula dengan masalah keluarga apabila ibu bapanya bercerai.
Kata Azrie, ibunya tidak mampu mengawal kebebasannya sehingga melakukan perbuatan jenayah termasuk pecah masuk rumah dan curi motosikal untuk mendapatkan wang bagi membeli pil kuda.
“Sepanjang ketagih pil kuda, saya sudah menghabiskan wang sehingga ribuan ringgit. Selepas gagal meneruskan pelajaran, saya bekerja sebagai buruh dan pergaulan saya dengan rakan-rakan penagih semakin tidak terkawal.
“Sebelum keluar bekerja, saya telan pil kuda untuk tambah tenaga. Pil kuda juga boleh merangsangkan nafsu.
“Kini saya sudah insaf, sudah berkahwin lain dan melakukan pekerjaan sendiri dengan isteri berniaga makanan di pasar malam,” katanya.















