PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya peringkat merah di enam daerah di negeri Johor bermula hari ini sehingga esok.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya MetMalaysia kira-kira pukul 11 pagi tadi memaklumkan, amaran cuaca tersebut melibatkan daerah Batu Pahat; Kluang; Pontian; Kulai; Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Katanya, keenam-enam daerah tersebut akan menerima hujan yang sangat lebat sehingga esok.
Selain amaran peringkat merah, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga bagi dua daerah lain di negeri tersebut melibatkan daerah Segamat dan Mersing
“Kesemua daerah ini akan menerima hujan lebat berterusan sehingga esok,”ujarnya.
Dalam kenyataan sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca tahap waspada peringkat kuning melibatkan beberapa daerah di negeri Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga Selasa ini.
“Bagi negeri Pahang ia melibatkan daerah Maran; Kuantan; Bera, Pekan dan Rompin. Manakala, di Johor ia melibatkan daerah Tangkak dan Muar.
“Sementara itu, bagi negeri Sarawak ia melibatkan daerah Kuching; Serian; Samarahan; Sri Aman; Bentong, Sarikei; Sibu dan Mukah. Di Sabah pula ia melibatkan daerah Kuala Penyu; Beaufort, Tambunan, Pantai Barat dan Kudat serta seluruh Labuan,” katanya.-K! ONLINE














