ROMBAKAN struktur kejurulatihan dalam skuad badminton kebangsaan awal bulan lalu dianggap langkah tepat untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia.
Keputusan itu dibuat memandangkan Malaysia bakal menghadapi beberapa kejohanan dan temasya penting dalam tempoh beberapa tahun akan datang termasuk Piala Sudirman 2025, Piala Thomas 2026 dan Sukan Asia 2026.
Antara individu terkesan dengan rombakan tersebut adalah jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan apabila kontraknya yang akan berakhir Disember depan tidak disambung oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bukan mahu menidakkan kredibiliti bekas juara dunia itu, namun mungkin sudah tiba masanya skuad perseorangan lelaki diberikan nafas baharu bagi menggilap bakat-bakat sedia ada seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh serta beberapa lagi pemain muda.
Meskipun BAM belum mengumumkan nama calon yang bakal mengemudi skuad perseorangan lelaki dan wanita, namun difahamkan jurulatih berkenaan pernah menghasilkan pemain-pemain bergelar juara dunia.
Penulis sudah tentu mengharapkan individu terbabit mampu memperkemaskan skuad perseorangan, terutamanya perseorangan lelaki yang boleh dianggap paling penting setiap kali Malaysia menggalas misi di Piala Thomas.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui sudah tiba masanya perubahan dibuat dalam struktur kejurulatihan.
“Kita harap penstrukturan semula ini kita boleh hasilkan lebih banyak juara. Kalau kita lihat sekarang, sektor perseorangan lelaki dan wanita agak tiada perubahan, jadi perlu orang baharu yang boleh bawa idea segar.
“Kita telah mengenal pasti beberapa calon dan jurulatih itu adalah yang terbaik untuk melakukan perubahan,” katanya.
Sekiranya sektor perseorangan lelaki mampu diperkemaskan, penulis percaya Malaysia tidak ada masalah untuk kembali merampas Piala Thomas memandangkan ketika ini kita tidak ada masalah dalam acara beregu lelaki.
Antara kejohanan besar yang mampu menguji kebolehan strukutur kejurulatihan baharu dalam masa terdekat adalah pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Bukit Jalil Januari depan.
Selain perseorangan lelaki dan wanita yang mengalami perubahan dari segi ketua jurulatih, beregu wanita turut tidak terkecuali apabila BAM mengambil keputusan untuk mendapatkan semula khidmat Rosman Razak.
Rosman yang menunjukkan rekod cukup baik ketika mengendalikan skuad profesional negara menggantikan tempat Hoon Thien How yang menggalas tugas baharu bagi mengemudi skuad beregu lelaki remaja.
Penulis menyifatkan kepulangan Rosman ke ABM sebagai satu perkara positif memandangkan ia mendapat respons cukup baik daripada pemain beregu wanita No.1 negara, M. Thinaah memandangkan beliau individu bertanggungjawab menggandingkan Thinaah dan Pearly Tan.
Sebagai kesimpulan, struktur kejurulatihan baharu ini diharap mampu mengembalikan semula era kegemilangan sukan raket No.1 tanah air itu.














