AFANDY menunjukkan lokasi ‘mat rempit’ berkumpul setiap malam dan mengganggu ketenteraman penduduk dengan bunyi bising ekzos motosikal.

10 tahun diganggu bunyi bising ekzos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Penduduk di Jalan Tok Dagang, Kampung Sungai Merab Jaya di sini mendakwa mengalami gangguan emosi berikutan tidak dapat tidur lena kerana diganggu aktiviti perlumbaan haram sekumpulan ‘mat rempit’ di kawasan tersebut lebih 10 tahun lalu.

Menurut seorang penduduk, Afandy Kasim, 47, isu ber­kenaan sudah berlarutan lama sejak penempatan desa tradisional itu dibuka pada 2010.

“Isu ini bukan sahaja ­me­ngakibatkan gangguan emosi, tetapi juga menjejaskan kesihatan kami yang tidak dapat tidur lena setiap malam sehingga awal subuh,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tinjauan mendapati, kampung itu hanya dipisahkan 30 meter dari susur keluar 212, ­Kilometer 296, Lebuh Raya Utara Selatan arah Seremban menuju Kuala Lumpur.

Sekumpulan lebih 20 penunggang dikesan ‘melepak’ di simpang itu sebelum berlumba awal tengah malam dan berakhir pukul 5 pagi terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

Kata Afandy, bunyi bingit ekzos motosikal ketika aktiviti ‘rempit’ itu turut menyebabkan ramai penduduk mengalami masalah pendengaran khususnya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak.

SEKUMPULAN ‘mat rempit’ dirakam berkumpul sebelum berlumba haram di susur keluar dekat Sungai Merab Jaya, Sepang.

Beliau mendakwa sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang serta mengemukakan aduan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Selain itu, beliau turut memohon pengendali lebuh raya itu dan Lembaga Lebuhraya Malaysia supaya dipasang tembok kalis bunyi di tepi laluan tersebut.

Malangnya kata beliau, syarikat konsesi terbabit dan agensi berkenaan tidak melayani permintaan itu kerana dikatakan penempatan penduduk wujud selepas lebuh raya tersebut dibina.

Justeru, Afandy yang juga orang kelainan upaya kategori ketidakupayaan pelbagai merayu ihsan kumpulan ‘mat rempit’ itu untuk lebih berperikemanusiaan dan bersikap prihatin.

“Ada sejumlah 27 buah kediaman di sepanjang kawasan ini dan kami tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi sebab wakil rakyat pun amat jarang datang melawat ke sini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Merab Jaya, Datuk Muhammad Abdullah berharap agar isu berkenaan dapat diatasi segera demi kebaikan penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN