fbpx
Imran menyifatkan sifat baran yang tidak dapat dikawalnya berpunca daripada trauma kehidupan zaman kanak-kanaknya apabila bapanya yang berpoligami merupakan seorang panas baran dan selalu memukul ibunya. – Gambar hiasan

Dibesarkan dalam keluarga bermasalah punca pemuda jadi baran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA harap rasa marah saya boleh dikawal sebab sejujurnya saya sayang keluarga saya.”

Begitulah luahan Imran (bukan nama sebenar) kepada Panorama saat dia mengimbau kelakuannya terhadap ahli keluarganya sendiri.

Imran bukanlah seorang yang jahat, namun dia mengalami masalah untuk mengawal kemarahan sehingga berpotensi menyebabkan kecederaan.

Apabila rasa marah mula menyirap dalam diri, lelaki berusia 36 tahun itu mengakui mampu mengeluarkan kata-kata kesat yang menusuk hati pendengar.

“Pernah sekali saya penat pulang ke rumah, saya dapati rumah saya bersepah dengan mainan dan anak kecil saya pula menangis.

“Tiba-tiba darah saya menyirap dan terus memaki isteri saya yang pada ketika itu sedang sibuk memasak di dapur.

“Bukan itu sahaja, saya juga menolaknya ke dinding sehingga kepalanya terhantuk dan bengkak,” katanya.

Setelah kemarahannya reda dan fikirannya kembali jernih, Imran akan dihantui rasa bersalah kerana tidak dapat mengawal emosi.

Anak jati Perak itu akui bahawa secara logik akal, dia faham tentang kepayahan isterinya yang seorang diri mengurus rumah ketika dia bekerja.

Untuk menebus semula kesalahannya, Imran akan memujuk isterinya dengan kata-kata manis serta membeli makanan kesukaannya.

Jauh di sudut hati, pegawai perbankan itu tahu isteri kesayangannya itu sudah lelah dengan kitaran emosinya yang bagaikan bom jangka.

Ujarnya, terdapat kerisauan sekiranya satu hari nanti isterinya itu akan menuntut perceraian dan mendedahkan sikapnya itu kepada ahli keluarga.

“Saya memberitahu diri saya bahawa saya akan belajar untuk kawal kemarahan dan perkara sama tidak akan berlaku lagi.

“Tetapi ia tetap berlaku. Kemarahan saya seperti kitaran yang saya tidak boleh putuskan walaupun sekeras mana saya cuba,” katanya.

Menyentuh berkenaan pencetus kemarahannya, Imran membuka cerita bahawa dia dibesarkan dalam keluarga yang penuh masalah.

Dek sikap panas barannya, Imran sering menyakiti isterinya tanpa kemahuannya.
– Gambar hiasan

Bapanya seorang yang mengamalkan poligami dan tidak bertanggungjawab sehingga ibunya perlu bekerja untuk menyara mereka.

Keadaan yang sentiasa tegang antara ibu bapanya membuatkan Imran turut memendam rasa sehingga menjadi pemarah. Bapanya jenis baran dan kaki pukul.

Oleh itu, apabila anaknya menangis dan rumahnya bersepah, dia rasa rungsing dan kemarahannya jadi tidak terkawal.

“Saya tidak mahu jadi seperti bapa saya yang kaki pukul. Saya juga tidak mahu anak saya jalani hidup seperti saya.

“Saya sedih melihat anak dan isteri saya sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu setiap kali saya berada di rumah,” jelasnya.

Kini, Imran sedang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta bagi memahami cara-cara untuk mengawal kemarahannya.

Perkara tersebut diharapkan mampu membantu dirinya daripada bercakap atau bertindak di luar batasan sehingga melukai orang kesayangannya.

Imran menasihati lelaki-lelaki yang mengalami pergelutan dalaman sepertinya agar segera mendapatkan bantuan sekiranya emosi tidak terkawal.

“Lelaki selalu ingat perempuan yang beremosi kerana suka menangis, tetapi kita sebagai lelaki juga memiliki emosi seperti kemarahan.

“Jangan biarkan emosi yang hanya datang sementara itu menyebabkan kita kehilangan orang-orang tersayang kita selama-lamanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN