SETELAH kematian isteri tercinta, seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Elias berasa hidupnya begitu sunyi.
Elias dan isterinya itu telah bersama lebih 30 tahun dan kehilangan wanita yang begitu disayanginya itu amat dirasainya.
“Tambahan pula isteri saya meninggal setelah saya pencen dan mempunyai masa banyak terluang.
“Jadi saya rasa amat sunyi, namun saya beruntung anak cucu saya tinggal sekali bersama saya dan merekalah yang membantu saya menghilangkan rasa kesunyian itu,” katanya kepada K2.
Elias berkata, anak-anaknya kemudian memberi keizinan kepadanya untuk berkahwin lagi jika dia mahu berbuat demikian. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dengan seorang wanita yang lebih muda daripadanya.
“Saya diperkenalkan dengan seorang janda anak dua oleh rakan saya dan dia 20 tahun lebih muda daripada saya.
“Setelah berkenalan antara satu sama lain kami kemudiannya mengambil keputusan untuk berkahwin,” jelas Elias yang kini berusia 64 tahun.
Setelah berkahwin, Elias mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di rumah isteri baharunya itu memandangkan wanita itu tidak selesa tinggal di rumah Elias kerana anak-anak dan cucu-cucu Elias ada di situ.
Elias juga mendapati, setelah berkahwin, isterinya itu tidak berapa menyukai anak-anak dan cucu-cucunya.
Isterinya itu akan marah jika Elias sering pulang untuk menguruskan cucu-cucunya.
“Sebelum ini saya sering menghantar dan mengambil cucu-cucu saya dari sekolah.
“Namun, selepas berkahwin, saya tidak dibenarkan berbuat demikian dan saya harus mengurus anak-anak tiri saya untuk pergi dan pulang ke sekolah memandangkan isteri saya masih bekerja,” katanya.
Tambahnya, Elias juga tidak dibenarkan untuk pulang tidur di rumahnya sendiri bersama anak-anak dan cucu-cucunya.
Rumah mereka tidaklah terlalu jauh dan masih dalam daerah yang sama.
Malah, ada satu ketika, isterinya itu memarahi cucu-cucunya kerana memecahkan cawan di rumahnya ketika anak-anak dan cucu-cucunya datang untuk menjenguk mereka berdua.
Elias sendiri tidak berasa bahagia dengan perkahwinan tersebut dan sikap isteri baharunya itu yang hanya mahu Elias mengikuti arahannya amat berbeza dengan arwah isterinya sebelum ini.
Malah, isteri baharunya juga bersifat ‘dominan’ dan itu membuatkan Elias tertekan. Elias mengakui bahawa dia tidak dapat memberi kepuasan batin kepada isterinya itu.
“Saya semakin berusia tambahan pula mempunyai masalah diabetes dan kadangkala tidak dapat memberi kepuasan kepadanya.
“Isteri saya ini masih lagi muda dan keinginan batinnya juga masih tinggi,” katanya.
Malah, isterinya itu tanpa rasa bersalah berterus terang kepada Elias yang dia tidak puas saat mereka bersama.
Disebabkan hal itu juga, isterinya berlaku curang di belakang Elias.
“Kecurangannya terbongkar setelah saya membuka telefon pintar yang sebelum ini dia tidak membenarkan saya berbuat demikian.
“Tetapi rasa curiga dalam diri membuatkan saya berbuat demikian dan saya membaca perbualan WhatsApp dia dengan lelaki lain yang begitu mesra,” ujarnya.
Elias meminta penjelasan daripada isterinya itu, namun isterinya ‘naik gila’ dan memarahi Elias kerana membuka telefon pintar tanpa kebenarannya.
Ketika itu juga, isterinya meminta dirinya untuk dilepaskan dengan mengatakan sudah ada lelaki lain.
“Bukan itu saja, dia turut memaki hamun saya ketika itu dan mengeluarkan kata-kata lain yang menyakitkan hati.
“Dalam keadaan marah saya terus menjatuhkan talak kepadanya,” kata Elias.
Akhirnya Elias dan isterinya itu sah berpisah di mahkamah syariah di satu negeri di utara Semenanjung.














