fbpx
Saifudin menunjukkan antara ikan baung saiz sederhana yang berjaya dipancing di Sungai Langat.

K2

Manfaat musim hujan untuk buru ikan baung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IKAN baung merupakan antara spesies ikan asli tempatan yang sangat dikenali dalam kalangan pemancing dan peminat ikan air tawar.

Kebanyakan spesies ini boleh ditemui di kawasan air tawar di Kepulauan Jawa, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan juga kepulauan Borneo.

Selain itu, spesies ini juga banyak ditemui di kebanyakan sungai utama di Asia Tenggara seperti Sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya.

Merupakan spesies hemibagrus dan termasuk dalam keluarga ikan bermisai, ikan baung mempunyai harga pasaran yang agak stabil dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminatnya.

Walaupun begitu, menurut seorang kaki pancing, Saifudin Gahnehman, 39, ikan baung bukan tergolong dalam kategori ‘ikan trofi’ disebabkan sifatnya yang tidak terlalu agresif ketika melawan tarikan joran.

Namun katanya, ia masih menjadi antara ikan buruan pemancing kerana ikan baung mempunyai rasa yang enak jika dijadikan pelbagai jenis hidangan.

Malah, faktor harga pasaran yang agak tinggi iaitu sekitar RM30 hingga RM40 bagi sekilogram turut menjadi sebab ramai pemancing gemar memburu ikan baung untuk dijual.

“Saya merupakan pemancing tegar dan akan kerap ke kawasan sungai, tasik atau kolam untuk melunaskan hobi saya ini terutama pada cuti hujung minggu.

“Antara spesies ikan yang menjadi buruan saya termasuklah baung, patin, keli dan ikan jenis bersisik seperti lampam, kelah, tengas, rohu, jelawat, ketutu dan likoh.

“Tetapi jika musim hujan dan air sungai menjadi besar, saya lebih gemar memburu ikan baung di kawasan seperti di Sungai Langat dan Sungai Semenyih.

“Ini kerana, ketika air sungai tinggi, ikan baung lebih mudah untuk diperoleh berbanding spesies ikan lain yang kurang aktif mencari makanan ketika itu,” jelasnya.

Dia yang kini menetap di Kajang, Selangor dan bekerja di satu institusi kewangan berkata, bagi memburu ikan baung, dia biasanya akan menggunakan umpan hati ayam atas faktor kosnya yang lebih murah dan lebih mudah untuk diperoleh.

Selain itu jelasnya, dia juga akan menyediakan beberapa jenis umpan alternatif seperti cacing, perut ayam dan umpan tapa sekiranya umpan hati ayam gagal menarik minat ikan baung untuk membaham umpan.

IKAN baung ekor kuning antara spesies yang kerap diperoleh Saifudin
di Sungai Langat dan Sungai Semenyih, Selangor.

“Untuk memburu baung, saya gemar menggunakan joran saiz medium 8-17 paun dengan panjang 6 kaki.

“Ia dipadankan dengan penggunaan mesin bersaiz 1000 dan tali utama jenis benang 30 paun.

“Bagi mata kail pula, saya akan guna saiz 15 hingga 17 bergantung kepada lokasi dan diikat pada tali perambut dari jenis tangsi bersaiz 30 paun,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemburuan ikan baung, Saifudin berkata, ikan baung lazimnya akan keluar mencari makanan ketika hari sudah gelap atau selepas hujan.

Bagaimanapun, jelas Saifudin, pemancing masih boleh memburu ikan baung pada waktu lain dengan cara mencuba di pelbagai lokasi yang diyakini ada ikan baung misalnya berhampiran reba kayu.

Malah katanya, penggunaan umpan yang berbau kuat seperti umpan tapa juga mampu menarik keluar ikan tersebut untuk keluar dari kawasan persembunyian untuk membaham umpan.

“Jangan sesekali perkecilkan lokasi yang kelihatan cetek atau sungai yang kecil kerana di kawasan tersebut boleh menjadi lubuk persembunyian ikan baung.

“Jika tiada sebarang petanda, pindahlah ke lokasi lain dengan segera kerana seseorang pemancing harus ‘rajin’ mencuba di beberapa lokasi yang berbeza.

“Memandangkan seseorang pemancing perlu banyak bergerak dan berpindah, adalah praktikal untuk menggunakan sebatang joran sahaja dan menggunakan pancang besi yang sesuai bagi mengelakkan joran diterbangkan ke sungai.

“Pemancing juga perlu menyediakan perambut, mata kail dan batu ladung tambahan kerana kebarangkalian untuk sangkut di reba kayu adalah tinggi.

“Sekiranya umpan sudah disambar ikan baung, pemancing juga harus menarik tali dengan segera bagi mengelak ikan baung membawa umpan ke kawasan reba dan semak, sekali gus boleh menyebabkan mata kail tersangkut dan ikan boleh terlucut,” ujarnya.

Mengulas mengenai trip memancing ikan baung yang dilakukannya di Sungai Langat baru-baru ini, dia berjaya memperoleh kira-kira 10 ekor ikan baung ekor kuning dan ekor merah dalam tempoh kira-kira empat jam memancing.

Kesemua ikan berkenaan katanya, dibawa balik untuk dijadikan hidangan seisi keluarga kerana ia merupakan antara ikan kegemarannya berbanding ikan sungai yang lain.

Ditanya mengenai hidangan yang kerap dimasak menggunakan ikan baung, Saifudin berkata, bagi masyarakat negeri Johor, ikan baung kerap dijadikan hidangan masak lemak cili api atau dimasak asam pedas.

Bagi penggemar yang berasal dari Pahang pula katanya, ada juga dalam kalangan mereka yang menjadikan ikan baung sebagai hidangan masak tempoyak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN