KEWUJUDAN ruang contoh atau pameran hiasan dalaman adalah sesuatu yang cukup membantu pemilik rumah atau pejabat dalam mendapatkan idea untuk menghias premis mereka.
Di situ juga, pelanggan boleh duduk dan melakukan perbincangan secara santai bersama pereka hiasan dalaman sekiranya mereka bersetuju untuk mendapatkan khidmat pereka dalaman.
Menyedari terdapat keperluan untuk ruang perbincangan di sebuah pameran hiasan dalaman, seorang pereka dalaman, Faiz Abdullah mengasaskan kafe di dalam bilik pameran supaya pelanggan lebih selesa untuk menikmati juadah sambil berunding.
Lebih menarik, kafe tersebut juga terbuka kepada semua dan boleh dikunjungi sesiapa sahaja biarpun tidak memerlukan khidmat pereka hiasan dalaman.
Faiz mengasaskan kafe yang dikenali sebagai Breu itu pada Julai 2023.
Kafe terletak di Sungai Buloh, Selangor itu merupakan idea Faiz bersama dua lagi rakan kongsinya iaitu Kevin dan Yap.
“Kafe ini mula dibuka pada Julai tahun lalu yang mana ia berkongsi ruang dengan sebuah bilik pameran syarikat perunding hiasan dalaman milik saya bersama rakan kongsi.
“Justeru, selain berfungsi sebagai kafe kepada pelanggan, ia juga boleh dijadikan ruang buat pemilik kediaman untuk melihat-lihat konsep hiasan dalaman yang ditawarkan kami.
“Buat masa ini, Breu menyajikan minuman seperti kopi dan teh yang diimport dari Indonesia dan juga aneka kek,” katanya.
Di sudut utama kafe, Faiz menempatkan padanan kerusi dan meja rekaan moden yang ringkas, namun cukup selesa untuk pelanggan menjamu selera.
Di ruang tamu bilik pameran yang berkongsi dengan kafe itu, rona lembut seperti putih dan coklat melatari segenap ruang sekali gus mencetus suasana damai.
Pelanggan juga boleh menonton televisyen di sudut tersebut sambil menikmati juadah yang dipesan.
Sofa dengan rekaan rotan pula menyerlah elemen moden dan Japandi iaitu gabungan dekorasi cita rasa Jepun dan Skandinavia yang kini merupakan salah satu konsep hiasan dalaman pilihan ramai.
Berkongsi konsep hampir sama dengan ruang tamu pula ialah ruang makan bilik pameran yang turut menampilkan kerusi makan daripada material rotan.
Lampu chandelier ringkas dengan cahaya putih pula menerangi ruang sekali gus mewujudkan suasana yang sofistikated.
Faiz berkata, memandangkan kafe tersebut berkongsi ruang dengan bilik pameran hiasan dalaman, dia cuba menampilkan sedikit kelainan menerusi pengalaman pelanggan yang datang ke kafe itu.
“Memandangkan kami juga merupakan pereka hiasan dalaman yang banyak berurusan dengan klien, maka saya melihat perlunya ada satu ruang khusus yang menyajikan lebih daripada sekadar minuman kepada pelanggan yang datang.
“Berbeza dengan kafe lain, pelanggan yang datang ke Breu boleh memilih untuk minum sambil bersantai di mana-mana ruang ibarat berada di rumah sendiri.
“Di sini, kami mempunyai konsep contoh buat hampir semua sudut dalam rumah seperti ruang tamu, ruang makan, ruang santai keluarga dan juga dapur,” terangnya.
Oleh itu katanya, pelanggan bebas duduk di mana-mana ruang yang mereka sukai.
“Kami mahu mencipta satu suasana seperti berada di rumah sendiri dan tidak mahu mengehadkan pelanggan untuk duduk di ruangan kafe sahaja,” katanya.














