PADA dasarnya Islam membenarkan perkahwinan poligami dengan beberapa syarat yang ketat agar rumah tangga dibina itu mampu mengecapi kebahagiaan berpanjangan.
Poligami bukan hanya untuk dorongan nafsu dan keinginan si lelaki semata-mata, sebaliknya mereka yang ingin berpoligami perlu mematuhi prosedur ditetapkan agar sentiasa berlaku adil dan tidak menzalimi hak setiap isteri juga anak-anak.
Dalam surah An Nisa ayat tiga dijelaskan, Islam sudah memperbaiki martabat wanita jika dibandingkan dengan amalan poligami pada zaman jahiliah. Jadi, sudah terbukti bahawa poligami hanya boleh dilakukan oleh lelaki yang mampu memenuhi syarat seperti mana dinyatakan dalam al-Quran iaitu adil dalam setiap perkara.
Namun, pada zaman ini, ramai yang berkahwin dua, tiga dan empat seolah-olah sedang bersaing siapa lebih hebat.
Pernah satu malam ketika penulis sedang menikmati nasi putih bersama tomyam campur di kedai makan, dua lelaki di sebelah rancak berbual soal poligami.
Salah seorang daripada mereka dengan bangga berkata “aku berjaya kahwin dua, kau bila lagi? Alah, bukan susah sangat pun”, tersentak penulis ketika mendengar kata-kata angkuh tersebut.
Sebelum ini di muka depan Kosmo!, Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh mendedahkan sebanyak 70 peratus daripada 200 pasangan yang datang mendapatkan khidmat nasihat daripadanya mengakui gagal menikmati kebahagian hidup berpoligami.
Katanya, ramai pasangan terutama suami meluahkan rasa tertekan dan menyesal melalui kehidupan berpoligami atas pelbagai alasan termasuklah bebanan kewangan, keletihan serta tidak menerima layanan sebaik mungkin daripada isteri-isteri.
Situasi itu jelas memperlihatkan bahawa ramai golongan suami membuat ‘u-turn selepas mengetahui dunia poligami yang sebenar apabila pernah merasai untuk tempoh tertentu dan ada juga seawal sebulan sudah tidak tahan beristeri dua.
Sebelum ini, tular di TikTok seorang individu mengatakan “hanya lelaki mati pucuk cukup satu, sebab fitrah laki nak isteri ramai”, bagaimanapun perkara itu ternyata mendapat kecaman ramai sehingga rata-rata pengguna media sosial memuat naik video membidas kenyataan lelaki tersebut.
Bercerita lanjut mengenai dunia poligami, Hushim berkata, kebanyakan lelaki membayangkan keindahan layanan yang istimewa apabila mereka memiliki lebih daripada seorang isteri.
Namun, hakikatnya kata Hushim, itu hanya angan-angan Mat Jenin apabila mereka sendiri tidak mempersiapkan diri dengan ilmu poligami.
“Resipi kehidupan berpoligami yang bahagia memerlukan ilmu dan kesabaran yang tinggi dalam menyelesaikan segala kerumitan dan rintangan sepanjang perkahwinan suami isteri.
“Kalau ilmu tiada, bila timbul sesuatu masalah, tak tahu bagaimana nak selesai dan akhirnya bermasam muka antara satu sama lain. Lebih teruk, perkahwinan pertama gagal, kedua gagal dan hidup sendiri,” katanya.
Sementara itu, Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli menjelaskan, kaum lelaki perlu melakukan lima perkara sekiranya mahu berpoligami untuk meneruskan pelayaran rumah tangga dengan penuh kasih sayang dan kebahagiaan.
Ujarnya, suami perlu melakukan lima perkara asas tersebut bagi mengelakkan berlaku perceraian yang biasanya melibatkan pasangan berusia antara 35 hingga 50 tahun yang mengamalkan poligami.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan si suami ialah menyediakan rumah berasingan bagi memenuhi hak setiap isteri.
“Seterusnya, suami harus beri wang nafkah yang cukup. Di dalam perintah poligami Mahkamah Syariah perlu dinyatakan terus berapa jumlah nafkah yang hendak diberi oleh suami kepada isteri sedia ada, bakal isteri dan anak-anak.
“Kemudian, suami perlu buat jadual bermalam. Jika mahu poligami, tidak adil sekiranya setiap malam hanya rumah isteri kedua. Nafkah batin ini wajib dan ia bukan tentang bersetubuh sahaja namun penjagaan hati dan kasih sayang juga sebahagian daripada nafkah batin,” katanya.















