PETALING JAYA – Kenaikan kadar upah mengasuh mencecah RM70 bagi seorang bayi dan kanak-kanak pada tahun hadapan membuatkan ada golongan ibu bapa kini dalam dilema.
Ada ibu bapa yang terpaksa menggunakan lebih separuh gaji ketika ini untuk membayar upah mengasuh terutama bagi mereka yang menetap di kawasan Lembah Klang.
Pegawai bank, Norshima Ayuni Nazzir, 35, berkata, dia memperuntukkan sebanyak RM1,200 sebulan untuk membayar upah mengasuh dua anaknya yang berusia satu dan lima tahun.
“Untuk anak yang berusia lima tahun, saya bayar caj transit sebanyak RM500 (12 tengah hari hingga 6 petang), manakala adiknya pula RM700 sebulan.
“Ada masanya lebih RM1,200 atas sebab kelewatan mengambil anak-anak kerana urusan kerja. Satu jam (lewat) pengasuh caj RM15, suami juga bekerja dalam bidang sama,” katanya.
Mengenai kenaikan kadar upah mengasuh pada tahun depan, wanita itu mengakui pengasuh anaknya ada menyatakan hasrat itu dengan kenaikan sebanyak RM20.
“Pengasuh beri alasan pemakanan anak berbeza sebab sudah besar,” katanya.
Sementara itu, Noor Amani Mohd. Noor Helmi, 28, turut berdepan dengan kenaikan upah mengasuh bayi sulungnya kepada RM600 sebulan mulai tahun depan berbanding RM550 ketika ini.
“Bila saya buat tinjauan, rata-ratanya upah sama. Separuh daripada gaji digunakan untuk anak. Ini baru seorang, kalau dua orang anak mungkin terpaksa berhenti dan cari kerja homebase (dari rumah),” katanya.
Berkongsi perkara sama, pegawai khidmat pelanggan, Khairunnisa Jazlii, 27, mengakui terpaksa menghantar seorang sahaja anaknya kepada pengasuh kerana terbeban dengan upah yang tinggi ketika ini.
Bagi ibu dua anak itu, anak keduanya yang berusia empat bulan dijaga oleh ibunya, manakala anak sulungnya pula dihantar kepada pengasuh dengan caj upah RM550 sebulan.
“Kalau dua orang memang kering simpanan saya. Mana boleh jimat, saya cuba,” katanya.














