SAMBUTAN perayaan Deepavali begitu sinonim dengan kehadiran masyarakat berketurunan India yang membeli belah di kedai-kedai dan toko di Jalan Tengku Kelana di Klang, Selangor atau digelar sebagai Little India Klang.
Dianggarkan lebih 100 buah kedai berada di kawasan tersebut yang didirikan sejak kurun
ke-18.
Bermacam-macam barangan keperluan dan kehendak dijual di sepanjang jalan sepanjang 3 kilometer tersebut.
Namakan sahaja, barang daripada produk tekstil, kraf tangan, serbuk kari, barangan seperti pinggan mangkuk, peralatan sembahyang dan manisan tradisi semuanya ada.
Menurut salah seorang penduduk Klang, B. Jeevananthan, 43, bandar yang pernah menjadi ibu negeri Selangor itu mempunyai banyak bangunan lama tinggalan sejarah sebelum negara merdeka.
“Biarpun semua bangunan di sini mempunyai nilai estetika yang tersendiri, namun tidak ramai mengenali keistimewaan bandar diraja ini.
“Sebagai contoh, di kawasan Little India wujud Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah.
“Galeri ini mula dibina pada 2002 oleh Sultan Selangor kesembilan, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memperingati jasa ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
“Selebihnya, Little India Klang ibarat syurga membeli-belah untuk masyarakat berketurunan India mendapatkan barangan keperluan untuk Deepavali,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jeevananthan berkata, antara bangunan klasik yang ada di Little India Klang adalah monumen milik Chennai Silk Palace iaitu gedung menjual tekstil dan kain sutera India.
Bangunan itu merupakan bank pertama di Klang iaitu Chartered Bank.
Katanya lagi, biarpun pemilik baharu telah membuat pengubahsuaian, namun reka bentuk dan struktur asal gaya neoklasik masih dikekalkan.
“Kawasan ini ada macam-macam jenis kedai. Biasanya, kedai pakaian yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Ramai yang datang membawa anak-anak untuk memudahkan mereka mendapatkan saiz sesuai dengan warna dihajati,” katanya.
Dia yang mencari baju vesti dan dothi untuk Deepavali berkata, Little India Klang ibarat pusat sehenti untuk sambutan Deepavali.
Jeevananthan yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan memaklumkan, lokasi tersebut menjual bermacam-macam sari berkualiti yang diimport dari India.

“Harga sari ada yang murah dan ada yang mahal. Jika berduit boleh beli yang mahal. Jika ingin berjimat, boleh tawar-menawar sehingga boleh membawa pulang sari yang sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.
Salah seorang pemilik toko pakaian tradisional India daripada Syarikat Sri Kumaran, N.Ravichandran, 60, berkata, Deepavali bukan sekadar sambutan perayaan tetapi masa yang paling istimewa untuk bertemu ibu bapa, datuk, nenek dan ahli keluarga lain.
Justeru katanya, ahli keluarga dari kecil hingga tua perlu memakai pakaian yang cantik dan berwarna-warni semasa berkunjung.
“Sesiapa yang ke kedai ini, dari kecil sehingga dewasa boleh mendapatkan baju raya yang sesuai. Pelbagai saiz dari L hingga 7XL ada jual di sini.
“Little India Klang memang tempat seisi keluarga membeli baju raya. Malah di sini terdapat makanan dan perhiasan yang boleh dibeli untuk menyerikan rumah sempena Deepavali,” ujarnya.
Seorang peniaga barang kemas daripada Syarikat Thangaram Jewellers Sdn.Bhd., N.P. Raman berkata, persediaan sambutan Deepavali ibarat pesta di Little India Klang.
Katanya, seiring perubahan zaman, cara merayakan Deepavali turut berbeza ketimbang zaman mudanya duhulu.
“Hari ini, orang datang ke Jalan Tengku Kelana ini bukan sahaja untuk membeli bahan membuat kuih dan baju raya, malah mereka turut membeli barang kemas seperti gelang, rantai, cincin serta anting-anting.
“Selain membeli barang kemas untuk bergaya pada hari Deepavali, ia juga boleh menjadi pelaburan yang menguntungkan,” katanya.
Raman yang 35 tahun berniaga di Little India Klang berkata, kawasan tersebut mengalami pembangunan pesat sejak tiga dekad lalu.
Dia yang merupakan bekas penjawat awam memaklumkan, parkir adalah masalah utama pelanggan untuk membeli-belah di situ.
“Kita pun kasihan lihat kereta pelanggan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa kerana parkir di kawasan larangan.
“Mungkin sesuatu perlu dilakukan bagi memudahkan pengunjung meletak kenderaan ketika membeli-belah di kawasan ini,” ujarnya.
Sebagai orang lama, Raman memaklumkan, Little India Klang mampu menjadi produk pelancongan utama di Selangor kerana terdapat pelbagai produk berkaitan masyarakat India, selain wujudnya bangunan ikonik dan bersejarah.
Sementara itu, menurut seorang peniaga makanan tradisi India, Manpreet Singh Hari Singh, 33, Little India Klang bukan sahaja lokasi membeli sari, malah syurga makanan masyarakat berketurunan India terutama etnik Punjabi.
Manpreet Singh berkata, sebanyak 200 lebih kuih-muih tradisi telah ditempah untuk sambutan Deepavali tahun ini.
“Saya menjual manisan asli, biskut, muruku, laddu, halwa, panick puri dan pelbagai jenis kuih lain.
“Sambutan amat menggalakkan pada tahun ini, bukan sahaja lebih 200 tempahan diterima, pelanggan yang datang ke kedai pun ramai terutama pada hujung minggu,” jelasnya.
Bagi seorang peniaga pastri, S. Abilashini, 19, biarpun sekadar membuka khemah di kawasan Little India Klang, namun jualannya tetap laris.
Abilashini berkata, dia turut mempromosi perniagaannya di media sosial bagi menarik lebih ramai pelanggan.
“Kuih seperti kek dan pastri turut dijadikan manisan untuk tetamu yang datang.
“Setahun lebih saya berniaga di sini, sambutan untuk kuih moden sempena Deepavali sama seperti kuih tradisional,” katanya.
Tinjauan Panorama mendapati, Little India Klang turut mempunyai deretan gerai bunga yang menambahkan lagi seri di kawasan perniagaan tersebut.
Seorang penjual bunga di Little India Klang, A. Gunarati, 43, berkata, pelbagai jenis bunga beraneka warna akan ditempah kira-kira dua atau tiga hari sebelum sambutan Deepavali.
“Di sini ada 30 kedai bunga. Bunga-bunga yang ditempah dibawa pulang untuk upacara keagamaan,” ujarnya.














