fbpx

Komplot pengawal keselamatan curi kabel TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA senjata api yang dirampas susulan tangkapan ke atas seorang pengawal keselamatan yang disyaki terlibat dalama kegiatan curi kabel TNB di Bukit Pelali, Pengerang, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah peribahasa sesuai buat seorang pengawal keselamatan di sini yang berkomplot dengan sekumpulan lelaki untuk melakukan jenayah samun di kawasan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Pelali, Pengerang semalam.

Bahkan lelaki berusia 24 tahun itu turut berlakon seolah-olah menjadi mangsa sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata suspek hadir ke balai polis pada pukul 9.25 pagi mendakwa telah disamun sekumpulan lelaki tempatan bertopeng muka serta bersenjatakan sepucuk senapang patah.

Katanya susulan itu polis membuka siasatan kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan di mana dalam kejadian itu sebanyak 70 meter kabel TNB telah dilarikan melibatkan kerugian RM10,000.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati pengadu telah berkomplot bersama enam lelaki iaitu rakannya berusia 19 hingga 36 tahun untuk membuat lakonan seolah-olah kejadian samun bersenjata tersebut berlaku.

“Susulan daripada itu, pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi telah membuat tangkapan lima lelaki tempatan di kawasan Felda Gugusan Adela diantara pukul 5 petang sehingga 11 malam.

“Hasil daripada tangkapan tersebut, polis telah merampas tujuh buah telefon bimbit milik suspek, dua laras senapang patah bersama tujuh butir peluru penabur, satu butir peluru 9 milimeter, tiga guni tembaga serta dua batang kabel TNB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussin berkata semakan rekod jenayah mendapati empat daripada tangkapan tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 14 Januari ini untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat.

“Siasatan turut dilakukan dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai 7 tahun dan juga boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya,”katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI