Sejak akhir-akhir ini kita mendengar banyak kes perceraian dilaporkan, baik selebriti, pempengaruh mahupun orang sekeliling.
Perceraian sangat pedih untuk diterima, begitu juga anak-anak yang menjadi mangsa kerana kehidupuan mereka selepas ini sudah pastinya berbeza.
Oleh itu, sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin kita perlu benar-benar bersedia untuk menerima pelbagai cabaran dan onak duri ketika melayari bahtera perkahwinan.
Konflik perkahwinan akan datang dalam pelbagai bentuk seperti tekanan kewangan, tidak sekufu dan kecurangan.
Keadaan itu sedikit sebanyak membimbangkan kita kerana ikatan perkahwinan dilihat sangat rapuh sehingga golongan bujang juga menyuarakan rasa takut untuk berkahwin.
Jika sebelum ini ‘musim’ curang, sekarang pula ‘musim’ cerai. Pasangan yang kita lihat bahagia dan sempurna dari segala aspek, tetapi tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba bercerai.
Lebih mengejutkan perceraian bukan sahaja melibatkan usia perkahwinan setahun jagung, malah pasangan yang mencapai usia perkahwinan cukup matang.
Ekoran isu perceraian tersebut, turut tular pesanan selebriti popular, Noor Neelofa di laman sosial.
“Kepada adik-adik di luar sana yang mana nak kahwin. Saya rasa benda ini kena ada orang cakap.
“Awak nak kahwin, suami kena sediakan rumah sekecil mana pun mengikut kemampuan dia. Awak kena terima. Kalau awak tidak boleh terima kemampuan bakal suami, benda itu akan jadi masalah nanti,” kongsinya.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Norulhuda Sarnon@Kusenin berpandangan, punca utama perceraian ialah kurangnya daya tahan pasangan atau salah satu pasangan dalam menghadapi cabaran serta dugaan perkahwinan.
“Perkahwinan bukan hanya pada waktu-waktu bahagia, tetapi ia turut melibatkan ujian, cabaran dan konflik yang perlu dilalui bersama.
“Ramai pasangan tidak cuba untuk menyelesaikan masalah mereka di peringkat awal, sebaliknya membiarkan konflik itu berlarutan.
“Pasangan yang mempunyai daya tahan tinggi akan cuba berusaha bersama-sama menyelesaikan apa juga cabaran yang dihadapi seperti mendapatkan bantuan kaunselor atau runding cara bersama pakar pada peringkat awal,” katanya kepada Kosmo!.
Tambahnya, hubungan yang sihat memerlukan kejujuran, persefahaman, pengorbanan dan sokongan emosi berterusan yang dapat dirasai oleh kedua-dua belah pihak sama ada suami atau isteri.
Norulhuda berkata, dua kunci utama kebahagiaan rumah tangga iaitu sifat terbuka untuk menerima kekurangan pasangan dan juga terbuka menerima pandangan pasangan.
“Menerima kekurangan pasangan bukan bermaksud membiarkan sahaja kelemahan pasangan berterusan.
“Sebaliknya, pasangan itu perlu saling menyokong dan membantu untuk menyesuaikannya bagi mendapatkan kesejahteraan dalam rumah tangga serta kebahagiaan yang diinginkan.
“Namun, itu semua menuntut kesabaran dan kerjasama bersama pasangan,” ujarnya.















