SEBAGAI wartawan yang pernah bertugas di beberapa negeri, penulis berkesempatan bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang kaya ada yang miskin, tak kurang yang pura-pura kaya dan pura-pura miskin.
Semasa bertugas di sebuah negeri di utara tanah air, penulis berkesempatan berbual dengan seorang taikun hartanah dan apabila diajukan mengenai masjid yang dibina atas sumbangannya, lantas beliau segera meminta supaya isu berkenaan tidak dipanjangkan.
Seorang lagi yang merupakan tokoh korporat terkenal juga begitu, segera mengalihkan perbualan dengan topik lain sebaik diajukan mengenai sumbangan beliau membina sebuah masjid di daerah kelahirannya.
Seorang usahawan pula semasa penulis berkunjung ke kediamannya, sebuah banglo biasa yang masih dalam pembinaan tetapi dia telah pun siap membina sebuah masjid yang begitu indah dan selesa untuk penduduk kampung tidak jauh dari kediamannya.
Itu hanya berkisar kepada sumbangan fizikal yang nampak terserlah dengan mata, banyak lagi sumbangan lain mereka ini yang tidak diketahui dan tidak disedari oleh kita.
Mereka melakukan kebaikan demi kebaikan tanpa henti tanpa perlu hebahan dan liputan media. Namun lain yang berlaku hari ini, apabila muncul sebilangan orang kaya yang ligat mempamerkan kekayaan mereka kepada orang ramai.
Tunjuk rumah sebesar istana, emas berselirat, intan berlian berkilauan dan duit ringgit berkepuk-kepuk. Ada pula merakam gambar menaiki pesawat peribadi yang tak terbang pun. Ada yang tayang kereta Rolls-Royce, tetapi rupanya disewa.
Agak malang hari ini apabila seakan menjadi trend pula mempamerkan longgokan wang tunai yang dimiliki untuk menonjolkan diri kepada khalayak umum. Ada pendapat menyatakan itu adalah strategi pemasaran digital masa kini.
Strateginya adalah jika khalayak kenal kita mereka kemudian akan kenal produk kita. Dahulu khalayak kena produk dahulu baharulah mereka akan cuba mengenali siapa individu hebat di sebalik produk berkenaan.
Dunia mungkin sudah berubah, namun trend seperti itu mengundang pelbagai tafsiran negatif. Teramat malang apabila golongan daif dan miskin yang melihat seolah-olah wang kini cuma ‘mainan’ golongan kaya dan mahakarya.
Itu belum lagi mata penyamun dan perompak yang melihatnya sebagai peluang kepada mereka untuk mula bertindak mencari mangsa.
Akhirnya terpulang kepada ampunya diri. Itu duit dan harta benda mereka, terpulang bagaimana cara untuk membelanjakannya.
Teringat pula penulis kepada kata-kata, orang tidak pandai nampak cerdik bila ada duit, orang cerdik pula nampak tidak pandai bila tidak ada duit. Kita di pihak yang mana?














