INDUSTRI angkasa lepas merupakan antara cabang kerjaya yang boleh menjadi pilihan buat golongan belia membina karier masa depan mereka.
Namun begitu, tidak ramai yang cakna tentang bidang tersebut yang meliputi sains dan teknologi angkasa berikutan kurangnya pendedahan dari peringkat awal.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran industri angkasa lepas dalam kalangan belia di Malaysia, organisasi penyelesaian satelit di Malaysia, Measat Global Berhad (Measat) dengan kerjasama Apadilangit telah menganjurkan program Field Trip to Measat.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Measat, Yau Chyong Lim, program bertemakan ‘Angkasa Lepas dan Perubahan Iklim’ itu dianjurkan sempena Minggu Angkasa Sedunia (WSW) 2024 pada 4 hingga 10 Oktober lalu.
WSW merupakan perayaan antarabangsa sains angkasa, teknologi, aplikasi dan sumbangan industri kepada peningkatan umat manusia.
Di Malaysia, sambutan ini diadakan di bawah naungan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Penganjuran program ini merupakan usaha berterusan kami dengan Apadilangit untuk mencetuskan minat dan kesedaran dalam kalangan belia tentang sains dan teknologi angkasa, selaras dengan misi Measat.
“Sebagai perintis dalam industri satelit dan angkasa lepas di negara ini, Measat berdedikasi untuk memupuk generasi peneraju teknologi angkasa lepas.
“Sebenarnya, ramai teruja untuk mempelajari bagaimana teknologi angkasa lepas menyokong kelestarian alam sekitar dan sumbangannya kepada kemajuan negara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambahnya, menerusi program ini, peserta berpeluang melawat Kem Angkasa ke Measat dan diberi akses eksklusif ke pusat operasi satelit tercanggih Measat di Cyberjaya, Selangor.
Di sana, semua peserta menyaksikan operasi satelit masa nyata dan meneroka cara ia berfungsi.
Malah, peserta diberi peluang bertemu pakar industri serta mengambil bahagian dalam sesi hands-on membina model replika satelit tercanggih syarikat itu, Measat-3d.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Apadilangit, Hafez Murtza memberitahu, penganjuran program seumpama itu merupakan platform ideal untuk memperkenalkan golongan muda kepada keajaiban angkasa dan memberi inspirasi kepada mereka.
“Visi kami adalah untuk membangunkan bakat angkasa negara yang bukan sahaja menghargai kepentingan sains dan teknologi, malah menyumbang kepada kemajuan teknologi serta pembangunan sosial di negara ini.
“Kami bersama Measat teruja untuk meneroka kerjasama baharu yang meraikan sains angkasa lepas dan memacu aplikasi inovatif yang memberi kesan positif kepada kehidupan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan Measat dan Apadilangit untuk bersama-sama meraikan sambutan WSW.
“Komitmen kedua-dua organisasi ini melibatkan golongan muda dalam sektor angkasa sejajar dengan misi MYSA untuk memacu penyelidikan dan pembangunan.
“Kami juga menantikan inisiatif selanjutnya daripada mereka.
“Kita juga perlu mempelbagaikan lagi program-program berkaitan dengan sains dan teknologi angkasa lepas.
“Ini supaya kita dapat mencetuskan keghairahan terhadap bidang berkenaan dalam kalangan belia yang juga merupakan bakal pemimpin masa depan negara,” kongsinya.














