fbpx
Beberapa wakil media mencuba teknik yang betul dalam CPR semasa menghadiri latihan asas CPR dan Automated External Defibrillator (AED) oleh Institut Jantung Negara (IJN) bersama media baru-baru ini.

Bantuan CPR mampu menyelamatkan nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAYANGKAN, ketika tengah melakukan aktiviti riadah, ada rakan atau orang di sekeliling kita yang tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Apakah yang harus kita lakukan ketika itu?

Secara peribadi, penulis sendiri akan panik apabila berhadapan dengan situasi sebegitu dan tidak tahu apa yang harus dilakukan, selain menelefon panggilan kecemasan.

Namun sebenarnya, bantuan kecemasan awal boleh diberikan melalui bantuan pernafasan ataupun resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Penulis sendiri mengakui, tidak mengetahui akan cara yang betul untuk memberi CPR.

Namun begitu, setelah menghadiri latihan asas CPR dan Automated External Defibrillator (AED) oleh Institut Jantung Negara (IJN) bersama media baru-baru ini, penulis mendapat sedikit ilmu dan keyakinan untuk memberi respons yang betul jika berhadapan dengan situasi kecemasan.

Dalam latihan itu, penulis dan pengamal media lain didedahkan dengan cara memberi CPR dan AED.

Secara ringkasnya, apabila sedang berhadapan dengan situasi orang rebah dan tidak sedarkan diri, kita perlu pastikan mangsa berada pada persekitaran selamat, sebelum memeriksa respons mangsa.

Kemudian, jika tiada respons diberikan, kita boleh menjerit mendapatkan bantuan di sekeliling sama ada menghubungi talian kecemasan atau mendapatkan AED.

Seterusnya, kita boleh mula memberi bantuan CPR kepada mangsa dengan menekan dadanya.

Berikan bantuan pernafasan dengan tekan dada pada kadar 30 tekanan, kemudian dua hembusan nafas kepada mangsa, sebelum menggunakan AED jika alat tersebut ada.

Ulang langkah tersebut sehingga bantuan pihak perubatan tiba.

Dalam latihan tersebut, wakil media bukan hanya diajar cara untuk memberikan CPR kepada orang dewasa. Malah, mereka didedahkan dengan cara betul untuk memberi CPR kepada kanak-kanak dan bayi.

Selain itu, kaedah untuk menyelamatkan mangsa yang sedang berhadapan dengan saluran pernafasan tercekik oleh benda asing.

Salah seorang pengamal media yang menyertai latihan itu, Nurul Husna Mahmud berkata, latihan tersebut membantunya untuk bertindak pantas memberikan bantuan jika berhadapan situasi kecemasan.

“Sebelum ini, saya agak ragu-ragu untuk memberikan bantuan kerana tidak tahu cara CPR yang betul.

“Malah, CPR untuk orang dewasa dan bayi juga berbeza. Melalui latihan ini, saya dapat ilmu yang betul.

“Saya juga berharap, latihan CPR sebegini perlu diadakan lebih kerap bersama komuniti bagi membolehkan semua orang mempunyai pengetahuan tentangnya,” katanya.

WAKIL IJN menunjukkan cara yang betul memberi CPR kepada para wakil media.
– Foto Faris Rusadio

Dalam pada itu, situasi kecemasan sering berlaku apabila jantung terhenti secara mengejut atau darah tidak boleh mengalir ke paru-paru, otak dan organ-organ penting yang lain.

Mangsa tidak mampu bernafas dan tiada tindak balas. Jika tidak dibantu, keadaan ini boleh mengakibatkan kematian.

Keadaan ini boleh berlaku disebabkan serangan jantung, saluran pernafasan tercekik oleh benda asing, lemas dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Pakar Perunding Kecemasan Institut Jantung Negara Dr. Ahmad Suhailan Mohamed berkata, cara paling berkesan dalam situasi tersebut adalah dengan memberi bantuan CPR.

Menurutnya, jantung apabila berdegup ia akan membekalkan darah ke otak dan anggota badan lain.

“Apabila jantung berhenti berdegup disebabkan serangan jantung, kita perlu memberi bantuan dari luar dan cara yang paling berkesan adalah melalui CPR.

“Ketika CPR diberikan, kita akan tekan dada mangsa dan jantung akan dipam. Apabila kita pam jantung, ia akan membekalkan darah ke otak. Ini penting untuk membolehkan otak kembali berfungsi.

“Badan kita dalam tempoh empat minit sahaja, jika tiada oksigen ke otak, otak kita akan mati,” katanya.

Oleh itu, CPR sangat penting apabila seseorang itu pengsan dan tidak bernafas kerana jika kita tunggu ambulans ia mengambil sedikit masa untuk tiba.

Jika tiada bantuan CPR diberikan oleh orang sekeliling, apabila ambulans sampai, berkemungkinan pesakit sudah mati kerana tiada oksigen ke otak.
“Katakanlah, CPR diberikan oleh pasukan perubatan yang hadir dan kecederaan otak telah berlaku, jadi kebarangkalian besar untuk pesakit kembali sembuh agak rendah.

“Dengan adanya bantuan awal CPR ini, kecederaan otak berkurangan dan peluang untuk pesakit kembali pulih seperti biasa sangat tinggi,” jelas Dr. Ahmad Suhailan.

Ulasnya lagi, selain CPR, kita juga perlu ada ilmu AED.

AED merupakan alat bantuan untuk memberi arus renjatan kepada pesakit yang mengalami serangan jantung dan ia adalah semi automatik.

“Kita tidak perlu menjadi doktor atau pakar perubatan. Orang biasa pun boleh menggunakan AED.

“Apa yang penting, kena belajar bagaimana untuk menggunakannya.

“Apabila kita ada pengetahuan CPR dan disertakan kemudahan AED, kebarangkalian pesakit untuk kembali sembuh sangat tinggi,” terangnya.

Sebenarnya, kesedaran untuk ilmu berkaitan CPR di Malaysia masih kurang berbanding beberapa negara jiran seperti Singapura, Filipina dan Thailand.

Mengulas akan hal itu, Dr. Ahmad Suhailan menjelaskan, di negara lain, CPR adalah sebahagian daripada kurikulum di sekolah.

“Oleh itu, kita harus ada kumpulan sasaran yang mempunyai ilmu berkaitan CPR dan penggunaan AED.

“Kita lihat pada EURO 2020 di mana pemain Denmark, Christian Eriksen rebah di padang, namun dengan tindakan pantas pasukan perubatan melakukan CPR, dia dapat diselamatkan,” jelasnya.

Oleh itu, di Malaysia, mereka yang aktif bersukan perlu tahu ilmu untuk memberi bantuan CPR.

Begitu juga di premis-premis yang menyediakan tempat untuk orang ramai bersukan.

Lengkapkan pekerja dengan ilmu CPR dan sediakan AED bagi membolehkan tindakan pantas boleh diambil.

Dr. Ahmad Suhailan juga menitipkan pesan kepada mereka yang mempunyai pengetahuan tentang CPR untuk tidak takut-takut untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

“Jika anda dilatih untuk berbuat demikian, jangan takut untuk melakukannya.

“Hal ini kerana, ia akan memberi peluang kepada pesakit untuk meneruskan hidup,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN